Berita

Laksana pelbagai cukai, naik tarif elektrik, Malaysia di ambang keruntuhan ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong menyifatkan tindakan kerajaan melaksana pelbagai cukai dan terbaru menaikkan tarif elektrik akan menyebabkan negara semakin hampir kepada keruntuhan ekonomi.

Beliau berkata, kenaikan itu juga jelas membuktikan kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai idea dan tidak memahami risiko makro-ekonomi yang menghantui negara.

“Adakah kenaikan tarif elektrik ini beban terakhir yang akan menyaksikan ekonomi Malaysia runtuh disebabkan pertemuan beberapa faktor domestik dan global?

“Kerajaan seharusnya mempunyai gambaran lebih luas dan menyelaras makro-ekonomi untuk mengelak krisis yang berpotensi.

“Mereka perlu sedar sebarang kesilapan akan membahayakan berjuta keluarga biasa, usaha perlu dilakukan sekarang agar ia dapat dibendung sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bermula Januari tahun depan tarif elektrik akan meningkat kira-kira 14.89 peratus bagi Semenanjung Malaysia dan 17 peratus untuk Sabah dan Labuan.

Peningkatan tarif elektrik bersamaan 4.99 sen setiap kwh atau 14.89 peratus daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kwj kepada 38.53 sen/kwj.

Bagi Sabah dan Labuan pula, tarif purata akan meningkat 5.0 sen setiap kwh atau 16.9 daripada kadar purata semasa 29.52 sen setiap kwj kepada 34.52 sen per kwh.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP menegaskan, kenaikan tarif ini jelas tidak munasabah kerana ia tidak mengambil kira keadaan semasa negara yang terbeban dengan pelbagai risiko.

“Risiko itu adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April 2015 yang akan memakan pendapatan boleh guna individu, menekan permintaan domestik dan menyebabkan inflasi sekurang-kurangnya pada tahun pertama.

“Kedua, peringanan kuantitatif (QE) berkemungkinan berakhir ketika itu dan mengakibatkan kadar faedah lebih tinggi, ia tentunya akan menekan permintaan dalam negeri.

“Ketiga, harga minyak sawit mungkin akan berkurang disebabkan lebihan bekalan dan peningkatan tuaian soya tahun depan. Penurunan ini akan membawa kesan politik kerana pemilik kecil di kawasan luar bandar bergantung sepenuhnya kepada komoditi,” ujarnya.

Katanya lagi, peningkatan tarif elektrik, pelaksanaan GST, kadar faedah tinggi dan harga komoditi lebih rendah ini juga tidak menampakkan sebarang kesan positif kecuali risiko krisis terutama dalam konteks hutang dalam negeri yang sangat tinggi kepada nisbah KDNK. -Roketkini.com