Rencana

BELEK – Salam 1Melayu!

belek“Salam 1Melayu!”

BAYANGKAN kalau berita di TV, pemula bicara di majlis atau radio dimulakan dengan lafaz begitu. Tentu bergelek gembira ahli UMNO. Apatah lagi sekarang ini lagu “Anak Kecil Main Api” pun dah kerap diputarkan di radio Klasik Nasional (bawah RTM). Kombinasi mantap! Pemimpin UMNO juga tak perlu lagi rasa sesak nafas, senak perut dan mual-mual apabila terpaksa melaungkan 1Malaysia berserta jari mencanak ke atas.

Kini mereka boleh melaungkan sesuatu yang jujur dan terus daripada hati. Timbalan Presidennya, Muhyiddin Yassin sudah boleh ulang kembali ikrarnya dengan penuh bergaya bahawa dirinya “Melayu dulu, yang lainnya kemudian”.

Sebenarnya timbul imaginasi sedemikian selepas belek-belek khabar di perhimpunan agung UMNO. Ya benar tiada apa yang baru. Sebab itu sesiapa yang membaca berita perhimpunan UMNO demi mencari sesuatu yang baru ibarat pergi ke Tasik Titiwangsa kemudian berharap ada naga akan muncul.

Yang dicari adalah berita yang boleh buat kita tersenyum. Dan salah satu berita menarik itu ialah suara jujur Musa Sheikh Fadzir mahukan slogan 1Malaysia digantikan dengan 1Melayu.

Katanya kerana masyarakat bukan Melayu menikam UMNO daripada belakang ketika Pilihan Raya Umum ke-13. Suara Musa Sheikh Fadzir ini tentu sekali meluahkan apa yang terpendam di lubuk hati ramai ahli UMNO. Yang bentuk awalnya dapat dilihat pada tajuk “Apa Cina Mau?” di dada akhbar UMNO, Utusan Malaysia.

Memang transformasi tidak sesuai buat UMNO kerana UMNO sentiasa ditarik untuk kembali kepada politik kaum. Ekosistem UMNO (pinjam gaya perkataan bombastik Najib Razak) tidak sesuai untuk transformasi, lebih kepada deformasi. Semakin meremuk dan renyuk. UMNO dan supremacy kaum berpisah tiada. Itu pun masih ada hati mahu menempel pada sosok Mandela.

Dalam belek-belek ternampak berita Gerakan Pulau Pinang mengecam slogan 1Melayu. Tak perlu ambik serius. Itu sekadar cubaan Gerakan mahu menandingi drama TV Playboy Itu Suamiku.

P/s: Belasungkawa atas pemergian Rolihlala Mandela atau lebih dikenali sebagai Nelson Mandela. Pejuang kental kebebasan dan penentang perkauman.-Roketkini.com