Berita

Muhyiddin tidak harus membisu, jelas cara mengatasi pencapaian Malaysia dalam matematik, sains, bacaan

KUALA LUMPUR, 6 DISEMBER: Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh terus membisu, sebaliknya menjelaskan bagaimana untuk mengatasi pencapaian tiga subjek iaitu matematik, sains dan bacaan dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2012 yang keputusannya mendukacitakan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sekiranya pencapaian Malaysia dalam tiga subjek itu dalam PISA 2012 sedikit lebih baik daripada ujian PISA 2010, sudah tentu Timbalan Perdana Menteri dengan bangganya akan menyebut perkara itu dalam ucapannya ketika merasmikan pembukaan mesyuarat agung tahunan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO malam Selasa lalu bahawa Malaysia sedang bangkit untuk menghasilkan sebuah sistem pendidikan bertaraf dunia di bawah kepimpinannya.

Katanya, malangnya keputusan PISA 2012 membuatkan Muhyiddin bermuram sebab itu dia membisu mengenai keputusan PISA, tidak seperti rakan sejawatannya dari Singapura, Heng Swee Keat yang menyatakan beliau amat gembira remaja berusia 15 tahun di Singapura telah mencatatkan pencapaian yang “amat, amat baik” dalam PISA 2012.

“Pelajar Singapura ditempatkan pada tangga kedua dalam matematik, ketiga dalam sains dan bacaan dalam ujian penilaian global yang membabitkan 510,100 pelajar berusia 15 tahun dari 65 negara dan wilayah.

“Menteri Pendidikan Thai, Chaturon Chaisang juga ceria apabila pelajar Thai mencatatkan skor 441 dalam bacaan, 427 dalam matematik dan 444 dalam sains (mengatasi Malaysian dalam ketiga-tiga subjek itu) dan pencapaian itu membayangkan potensi Thailand dan mampu menarik masuk pelaburan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah berkata, pencapaian Malaysia dalam PISA 2012 cukup mengecewakan kerana negara ini mengumumkan hasrat menduduki tangga tiga teratas dalam penilaian antarabangsa seperti yang diukur menerusi pencapaian dalam PISA atau Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menjelang 2021.

Beliau berkata, malah Muhyiddin pernah menyebut sebelum Laporan Awal Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 Oktober lalu bahawa anak Malaysia mendapat pendidikan lebih baik daripada anak Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Katanya, dakwaan Muhyiddin itu bukan saja tidak didukung oleh laporan terkini TIMSS dan PISA, malah PISA 2012 menunjukkan pelajar berusia 15 tahn dan sistem pendidikan Malaysia berdepan dengan tiga keadaan mendukacitakan.

1. Malaysia nampaknya terperangkap di tangga sepertiga terbawah di kalangan negara yang mengambil bahagian dalam penilaian antarabangsa dan tidak mencatatkan sebarang kemajuan. Ini boleh dilihat pada keputusan PISA 2012 Malaysia yang lebih buruk berbanding PISA 2010

2. Selain itu, Malaysia dipintas negara lain dalam kelompok itu, misalnya Kazakhstan yang perbezaan skor matematiknya dengan Malaysia semakin meningkat, iaitu daripada hanya satu mata pada PISA 2010 (Kazakhstan 405, Malaysia 404) kepada 11 mata pada PISA 2012 (Kazakhstan 432, Malaysia 421) selain memintas Malaysia dalam subjek sains (PISA 2009: Kazakhstan 400, Malaysia 422; PISA 2012: Kazakhstan 425, Malaysia 420).

Satu lagi contoh ialah Thailand yang mengatasi Malaysia dan melebarkan jurang perbezaan dalam ketiga-tiga subjek matematik, sains, bacaan Thailand 427, 444, 441 berbanding
Malaysia 421, 420 dan 398.

3. Lebih membimbangkan, jurang perbezaan antara Malaysia dan negara yang berpencapaian terbaik semakin lebar dalam PISA 2012.

“Keputusan PISA 2009+ (penyertaan kali pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan kerana menduduki dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Pencapaian ini juga meletakkan Malaysia di bawah pencapaian purata antarabangsa dan OECD.

“Hampir 60% murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009+ gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam matematik, manakala 44% dalam bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai tahap kemahiran minimum.

“Perbandingan skor ini menunjukkan murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding murid berumur 15 tahun di Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya, jurang skor antara pelajar Malaysia berusia 15 tahun dengan pelajar Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Shanghai pada usia yang sama semakin jauh sejak PISA sebelum ini.-Roketkini.com