Berita

PP perkenal peraturan perumahan baru berkuatkuasa 1 Februari 2014

GEORGE TOWN, 8 DISEMBER: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang memperkenalkan peraturan perumahan baru berkuatkuasa mulai 1 Februari 2014 bagi melindungi negeri itu daripada terjejas akibat gelembung hartanah.

Peraturan baru itu juga bagi memastikan perumahan awam dan perumahan mampu milik hanya dibeli pembeli tulen yang pertama kali layak daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya di Komtar, hari ini berkata, peraturan baru itu diumumkan pada  Belanjawan 2014 Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab akan memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang mapan dan kekal membangun, sentiasa berhati-hati dan mengelak daripada terperangkap dalam mana-mana gelembung hartanah yang boleh menjejaskan rakyat dan ekonomi dengan Jepun adalah satu pengajaran yang baik mengenai bahaya gelembung hartanah.

“Kerajaan negeri juga menubuhkan Dana Perumahan Awam dan Mampu Milik berjumlah RM500 juta untuk membina 20,000 unit perumahan awam dan perumahan mampu milik di semua lima daerah di Pulau Pinang. Ini adalah peruntukan terbesar kerajaan negeri dalam sejarah Malaysia.

“Sebagai kerajaan yang berjiwa rakyat, kerajaan negeri Pulau Pinang mahu mencapai demokrasi perumahan yang membolehkan setiap keluarga yang bekerja memiliki rumah sendiri serta memastikan perumahan awam (rumah kos rendah dan sederhana) dimiliki pembeli kali pertama miskin dan tulen,” katanya.

Menurut Guan Eng, mesyuarat Exco Pulau Pinang juga memperhalusi peraturan perumahan baru itu termasuk semua rumah kos rendah (sehingga RM42,000) dan kos sederhana rendah (sehingga RM72, 500) yang dibeli tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, mereka yang ingin menjual dalam tempoh 10 tahun pertama perlu merayu kepada kerajaan negeri dan hanya boleh dijual kepada “pembeli tersenarai” (listed buyers) yang berdaftar dengan Bahagian Perumahan kerajaan negeri dan disahkan sebagai golongan berpendapatan rendah yang layak.

“Peraturan 10 tahun meliputi semua belian yang lepas dan akan datang. Pengundian rumah juga akan tertakluk kepada pengawasan oleh sebuah firma audit.

“Perumahan mampu milik diklasifikasikan sebagai rumah yang pada mulanya dibeli di bawah RM400,000 di dalam pulau dan RM250,000 di Seberang dan tidak boleh dijual selama 5 tahun.

“Mereka yang ingin menjual dalam tempoh itu juga perlu merayu kepada kerajaan negeri dan hanya boleh dijual kepada “pembeli tersenarai” dan disahkan sebagai kumpulan berpendapatan pertengahan yang layak membeli rumah mampu milik.

“Bukan pemastautin hanya boleh membeli hartanah di Pulau Pinang yang melebihi RM1 juta dan bagi tanah dan bangunan di pulau ini mesti melebihi RM2 juta.

“Semua pembelian hartanah oleh bukan pemastautin akan dikenakan levi 3% atas harga transaksi pada 1 Februari 2014. Pengecualian disediakan bagi pembelian yang bertujuan industri atau menggalakkan pekerjaan, pendidikan, bakat manusia atau mempromosikan Pulau Pinang sebagai bandar antarabangsa dan pintar,” katanya.

 Beliau berkata, levi 2% akan dikenakan ke atas penjual untuk semua hartanah yang dijual dalam tempoh 3 tahun daripada tarikh Perjanjian Jual Beli (SPA) yang ditandatangani pada 1 Februari 2014, dalam erti kata lain, ini tidak retrospektif.

Katanya, hartanah yang dibeli dengan SPA ditandatangani sebelum 1 Februari 2014 tidak akan dikenakan levi ini, kecuali . selepas 1 Februari 2014 akan tertakluk kepada levi 2% jika dijual dalam tempoh 3 tahun dan levi 2% ini tidak terpakai untuk perumahan mampu milik.

Guan Eng berkata, perbincangan awal sudah diadakan antara beberapa syarikat hartanah dan pembeli rumah tetapi kerajaan negeri bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan semua pihak berkepentingan.-Roketkini.com