Budaya

Ucapan Albert Camus di Bakuet Anugerah Nobel 1957

Lima puluh enam tahun dahulu seorang karyawan besar menerima pengiktirafan global Hadiah Nobel dalam bidang sastera dari. Albert Camus dengan hati yang terbuka menyuarakan apa yang tersurat dan tersirat eperti yang tertera dalam ucapan penerimaan anugerah itu. Dan buat kita di sini, pada saat itu, Malaya hanya baru empat bulan mengecapi Merdeka, hasil rundingan tolak ansur dengan penjajah British.

Dengan menerima penghargaan yang dengan penuh murah hati diberikan Akademi anda yang bebas ini kepada saya, saya benar-benar berterima kasih, terutama selepas saya menimbangkan setakat mana ganjaran ini melampaui kelayakan diri saya. Setiap manusia, dan lebih-lebih lagi seniman, ingin diiktiraf. Begitu juga saya. Namun saya tidak dapat memahami keputusan anda tanpa membandingkan akibatnya ke atas diri saya yang sebenar. Seorang yang masih boleh dikatakan muda, hanya kaya dengan keraguan dan dengan karya yang masih tidak selesai, yang terbiasa dengan hidup dalam kesendirian berkarya atau dalam mencari ketenangan melalui persahabatan, bagaimana dia tidak merasakan semacam cemas di saat mendengar pengisytiharani yang mengangkatnya, dengan tidak semena-mena, bersendirian, ke tengah-tengah cahaya yang menyilaukan? Dan dengan rasa apakah dia dapat menerima penghormatan itu di saat penulis-penulis lain di Eropah, ada diantaranya yang terbaik, ditutup mulut mereka, malah di saat tanah kelahirannya sedang melalui sengsara yang tidak berpenghujung.

Saya merasakan kejutan dan rusuhan batin itu. Demi mendapatkan kembali ketenangan dulu, secara ringkasnya, menerima dengan damai ganjaran yang terlalu besar ini. Dan memandangkan saya tidak dapat menjadi setanding dengannya hanya bersandarkan pencapaian saya, saya tidak menemui apa-apa untuk mendukung saya, kecuali apa yang telah mendukung saya selama ini, biar pun di dalam keadaan yang paling bertentangan: idea saya tentang seni dan peranan penulis. Biar saya jelaskan kepada anda, dengan semangat kesyukuran dan persahabatan, seringkas yang boleh tentang idea itu.

Bagi diri saya sendiri, saya tidak boleh hidup tanpa seni saya. Namun saya tidak pernah meletaknya melebihi segalanya. Jika, sebaliknya, saya memerlukannya, ini kerana ia tidak dapat dipisahkan daripada umat manusia, dan ia membolehkan saya hidup, seperti yang saya sentiasa lakukan, senafas dengan mereka. Ia adalah satu cara untuk menggugah lautan manusia dengan menawarkan mereka gambaran istimewa tentang kebahagian dan penderitaan yang dikongsi bersama. Ia mewajibkan seniman untuk tidak memisahkan dirinya; ia mempertanggunjawabkannya kepada kebenaran yang paling universal, paling sederhana. Dan seringkali, sesiapa yang telah memilih takdir sebagai seorang seniman kerana merasakan dirinya berbeza dengan orang lain lambat laun sedar yang dia tidak dapat mengekalkan seni dan juga kelainan dirinya, sehinggalah dia akui bahawa dia sama sahaja dengan merka. Seniman mara ke arah mereka, di pertengahan jalan antara keindahan yang dia tidak boleh hidup tanpanya, dan komuniti yang tidak dapat dipisahkan dengan dirinya. Itulah sebabnya seniman yang sebenar tidak mencemuh apa-apa: Mereka wajib memahami, bukannya menghakimi. Dan jika mereka terpaksa berpihak, mereka mungkin hanya boleh berpihak kepada masyarakat, yang menurut kata-kata hebat Nietzsche, bukannya hakim yang akan mengetuai tetapi pencipta, sama ada dia seorang pekerja, atau pun intelektual.

Di atas sebab yang sama, peranan penulis tidak terlepas daripada tugas-tugas sukar. Tentunya dia tidak boleh berkhidmat kepada mereka yang mencorak sejarah; dia perlu berkhidmat kepada mereka yang menderitainya. Jika tidak, dia akan keseorangan dan seninya akan dirampas daripada dirinya. Tidak semua tirani dengan jutaan pengikut mereka akan membebaskannya daripada keterasingan, walaupun, dan terutama, jika dia bersama seiringan dengan mereka. Tetapi kebisuan seorang tahanan yang tidak dikenali, ditinggalkan dalam lembah kehinaan di penghujung dunia, sudah cukup untuk membuatkan penulis keluar daripada pengasingan, sekurang-kurangnya pada ketika, di tengah-tengah keistimewaan kebebasan, dia tidak alpa akan kebisuan itu, dan menyampaikannya, demi memberikan gema kepadanya , melalui seni.

Tiada siapa di kalangan kita yang cukup hebat untuk tugas seperti itu. Namun dalam semua keadaan hidup, dalam keadaan tidak dikenali mahu pun kemasyhuran sementara, dilempar ke dalam cengkaman besi tirani atau untuk satu masa bebas menzahirkan pandangan diri, penulis dapat memenangi hati komuniti yang ada yang akan memberi keabsahan kepadanya, dengan satu syarat bahawa dia akan menerima, sehingga had kebolehannya, dua tugas yang memberikan keunggulan kepada karyanya: khidmat kepada kebenaran dan khidmat kepada kebebasan. Oleh kerana tugasnya adalah untuk menyatukan seramai mungkin manusia, seninya tidak boleh bertolak ansur dengan penipuan, dan perhambaan diri yang, di mana-mana sahaja mereka berkuasa, akan membenihkan keterasingan. Apa sahaja kelemahan peribadi kita, kemuliaan karya kita akan sentiasa berakar dengan dua komitmen, yang sukar untuk dikekalkan: menolak untuk menipu tentang apa yang dia tahu dan penentangan terhadap penindasan.

Selama lebih dua puluh tahun dalam satu sejarah yang gila, sesat tanpa harapan dalam kekacauan zaman, seperti semua manusia generasi saya, saya didukung oleh satu perkara: perasaan terpendam bahawa untuk menulis pada zaman ini adalah satu kemuliaan, kerana ia adalah satu komitmen – dan komitmen yang bukan sekadar untuk menulis. Secara khusus, dengan mempertimbangkan kuasa dan kewujudan diri saya, ia adalah satu komitmen untuk ditanggung, bersama-sama dengan semua yang mengharungi sejarah yang sama, kesengsaraan dan harapan yang kita kongsi bersama. Mereka itu, yang lahir di awal Perang Dunia Pertama, mencapai usia dua puluh ketika Hitler memegang kuasa dan perbicaraan revolusi pertama bermula, yang kemudiannya dihadapkan, sebagai pelengkap kepada pendidikan mereka, dengan Perang Saudara Sepanyol, Perang Dunia Kedua, dunia kem-kem tahanan, Eropah yang penuh seksa dan penjara – mereka semua hari ini perlu membesarkan anak-anak, serta menghasilkan kerja mereka di dalam sebuah dunia yang diancam kemusnahan akibat nuklear. Tiada sesiapa, saya fikir, boleh meminta mereka untuk menjadi optimis. Saya malah merasakan yang kita perlu memahami – tanpa berhenti melawan – kesilapan mereka yang, dalam ke-putus asa-an melimpah ruah, telah menyatakan hak mereka kepada kehinaan dan terburu-buru masuk ke dalam nihilisme zaman. Namun hakikatnya kebanyakan kita, di negara saya dan juga Eropah, telah menolak nihilisme ini dan telah melibatkan diri dalam pencarian sebuah legitimasi. Mereka perlu mencipa seni mengharungi hidup di zaman malapetaka, untuk lahir buat kali kedua dan secara terbuka melawan naluri kematian yang sedang berlangsung dalam sejarah kita.

Setiap generasi pastinya merasa terpanggil untuk mengubah dunia. Generasi saya tahu ia tidak akan mengubahnya, namun tugasnya mungkin lebih besar daripada itu. Ini termasuk menghalang dunia daripada memusnahkan dirinya sendiri. Pewaris kepada sejarah yang jelek, yang di dalamnya revolusi-revolusi gagal, teknologi menggila, tuhan-tuhan mati, dan ideologi-ideologi lapuk bercampur-baur. Apabila kuasa yang hanya biasa-biasa sahaja mampu menghancurkan segala namun tidak lagi tahu bagaimana untuk meyakinkan, apabila kebijaksanaan merendahkan martabatnya sendiri untuk menjadi hamba kebencian dan penindasan, generasi ini, bermula dengan penolakan terhadapnya sendiri, perlu didirikan semula, luar dan dalam, yang padanya wujud maruah hidup dan juga mati. Di dunia yang diancam perpecahan, yang mana penyoal siasat tertinggi kita mengambil risiko mendirikan untuk selama-lamanya sebuah negeri maut, ia tahu yang ia seharusnya, di dalam perlumbaan gila mengejar masa, memulihkan kembali keamanan yang bukan bersifat perhambaan antara negara, mendamaikan kembali pekerjaan dan budaya, dan memperbaharui Tabut Perjanjian Musa bersama seluruh manusia. Tidak pasti sama ada generasi ini akan mampu melaksanakan tugas yang amat besar itu, namun ia sudah pun terbit di serata dunia untuk cabaran berganda kebenaran dan kebebasan dan, jika perlu, tahu bagaimana untuk mati kerananya tanpa rasa benci. Di mana sahaja ia ditemui, ia berhak disanjung dan disokong, terutama di mana ia mengorbankan dirinya. Di dalam mana-mana peristiwa, yakin dengan keizinan sepenuhnya daripada anda, kepada generasi inilah saya ingin menyerahkan penghormatan yang anda baru sahaja anugerahkan kepada saya.

Pada masa sama, selepas menggariskan kemuliaan karya penulis, saya patut meletakkannya di tempatnya. Dia tidak ada apa-apa permintaan lain, kecuali yang dikongsi bersama-sama saudara seangkatannya: lemah tetapi degil, tidak adil tetapi keinginan membara terhadap keadilan, melakukan kerjanya tanpa rasa malu atau bangga menurut pandangan orang lain, tidak berhenti daripada dibahagikan antara kedukaan dan keindahan, dan akhirnya mengabdikan diri untuk menyeru keluar daripada kewujudan dua-dirinya, ciptaan-ciptaan yang dengan nekad dia cuba bangkitkan dalam perjalanan sejarah yang membinasakan. Siapa, selepas segala yang terjadi, dapat mengharapkan penyelesaian sempurna dan ketinggian moral daripadanya? Kebenaran itu misteri, sukar difahami, sentiasa akan ditakluki. Kebebasan itu berbahaya, sukar untuk hidup bersamanya dan pada masa sama, menggembirakan. Kita mesti berarak menuju dua matlamat ini, dengan luka namun penuh tekad, dari awal lagi pasti dengan kegagalan kita pada sebuah jalan yang panjang ini. Penulis apakah yang dari saat ini dengan hati nurani yang jernih berani mengangkat dirinya sebagai pengkhutbah bagi nilai kebaikan? Bagi diri saya sendiri, saya perlu nyatakan sekali lagi bahawa saya bukanlah daripada jenis itu. Saya tidak pernah dapat meninggalkan cahaya, keseronokan manusiawi, dan kebebasan yang di dalamnya saya membesar. Namun meski nostalgia ini menjelaskan banyak kesalahan dan kesilapan saya, ia tanpa ragu telah membantu saya ke arah pemahaman yang lebih baik tentang karya sendiri. Ia masih membantu saya untuk menyokong sepenuhnya mereka yang tanpa suara menghadapi hidup yang ditakdirkan kepada mereka, hanya melalui kenangan mengenai kembalinya kebahagiaan yang bebas dan singkat.

Maka itulah diri saya yang sebenar, kepada batasan dan hutang serta kepercayaan saya yang membebankan, saya rasa lebih bebas, dalam menyimpulkan, untuk mengulas tentang tingkat dan kemurahan hati penghargaan yang baru sahaja anda anugerahkan kepada saya, juga lebih bebas untuk memberitahu anda bahawa saya akan menerimanya sebagai satu penghormatan, diserahkan kepada semua yang, berkongsi perlawanan yang sama, tidak menerima apa-apa keistimewaan, namun sebaliknya bertemu dengan kesengsaraan dan penyeksaan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya dan berikrar di hadapan anda secara terbuka, sebagai tanda peribadi rasa syukur saya, janji yang sama zaman-berzaman tentang keteguhan yang setiap seniman sebenar mengulangnya kepada diri sendiri, setiap hari.

Diterjemah oleh Aliff Fikri dan Aedi Asri daripada terjemahan bahasa Inggeris di www.nobelprize.org

BIODATA

Siapa Albert Camus

Albert Camus, lahir pada 7 November 1913, adalah seorang penulis dan ahli filsuf Perancis asal Algeria. Menjadi pemuka utama idea Absurdism melalui eseinya yang paling terkenal, The Myth of Sisyphus, serta novel The Stranger dan The Plague. Algeria sering kali menjadi latar kepada karya-karyanya. Cintaannya terhadap Algeria terserlah dalam eseinya Return to Tipasa dan Summer in Algiers.

Produk ‘zaman pancaroba’ Eropah pada abad ke-20, Camus menyertai akhbar bawah tanah Combat, bagi melawan penjajahan Nazi German ke atas Perancis ketika Perang Dunia kedua. Beliau pernah cuba mengusahakan perdamaian antara orang Perancis dan penduduk asal Arab di Algeria, namun ia ditolak dan dikritik oleh kedua-dua pihak. Beliau meninggal dalam satu kemalangan pada 4 Januari 1960. Tahun ini adalah ulang tahun keseratus kelahirannya.