Berita

Pemuda DAP hulur bantuan kepada mangsa banjir Pahang

KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER: Bantuan berupa keperluan harian diagihkan Pemuda DAP Kebangsaan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa banjir di Kuantan baru-baru ini.

Ketuanya, Teo Kok Seong berkata, bantuan kemanusiaan itu diagihkan bersama-sama ahli dan sukarelawan tanpa mengira fahaman politik, bangsa atau agama.

“Sudah tentu kami berasa dukacita atas bencana yang berlaku ini tapi berasa amat terharu menerima maklum balas positif mangsa banjir terhadap bantuan DAPSY.

“Ini sudah menjadi tanggungjawab kita membantu dan menunjukkan solidariti,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Rasah.

Menurutnya, walaupun bantuan yang diagih itu dalam jumlah yang tidak terlalu besar, pihaknya amat berpuas hati dapat bersua muka menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Sesetengah orang fikir kerajaan sahaja mampu bantu.

“Tidak kira apapun organisasi, siapapun anda, bagi kita, ini adalah satu tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Antara pimpinan Pemuda DAP yang turut hadir ialah Setiausaha Organisasi Pemuda DAP, Lee Chin Chen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Ketari dan ADUN Bilut, Chow Yui Hui yang juga Pengarah Hal Ehwal Varsiti Pemuda DAP. – Roketkini.com