Berita

DAP mahu Lembah Bujang disenarai UNESCO

KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER: DAP terkejut dengan cadangan Kerajaan Negeri Kedah untuk memindahkan binaan penting daripada lokasi ketamadunan tua Lembah Bujang yang berselerak dalam kawasan seluas 200km ke satu lokasi tetap.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ini tidak menepati amalan galian arkeologi sesebuah tamadun yang sentiasa dilakukan di tempat asal, kecuali jika terdapat objek seperti pasu atau figura tanah liat yang boleh dipindahkan untuk dipamerkan di muzium.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata adalah lebih praktikal untuk membuat pemasangan struktur itu di satu lokasi tetap, memandangkan tinggalan tamadun tertua di rantau ini wujud sejarah berselerak di merata-rata tempat.

Menurutnya, namun untuk memindah atau mengubah struktur itu daripada kedudukan asal membawa risiko untuk menukar bentuk, menghilangkan malah mengurangkan nilai kepentingan sejarah yang begitu unik terhadap tapak asal yang dipilih penduduk asli kawasan itu 2000 tahun lalu yang dikenali di seluruh dunia sebagai tamadun Lembah Bujang, walaupun pakar memutuskan sama ada pendekatan ini baik dan boleh dilakukan.

“Walaupun Mukhriz memberi jaminan kepada rakyat Kedah bahawa warisan negeri sebagai tamadun tertua di Malaysia akan diraikan, sepatutnya wujud akauntabiliti sepenuhnya daripada Mukhriz terhadap tradegi yang menimpa candi pra-sejarah berusia 1,200 tahun Sri Vijaya (yang dikenali sebagai Candi No. 11) di Sungei Batu dalam kawasan Lembah Bujang.

“Terletak dalam satu kawasan dengan keluasan beratus ekar, Lembah Bujang adalah tapak arkeologi terkaya di Malaysia dan terkenal di seluruh dunia oleh kerana warisan budaya Hindu-Buddha kuno yang terjaga, serta sebagai permulaan kepada lahirnya tamadun Melayu awal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, apa yang tinggal daripada Candi yang mempunyai nilai dan signifikan sejarah yang tinggi, kerana dibina antara kurun ke-11 dan 13, hanya sebidang tanah lapang siap untuk projek perumahan.

Katanya, kehilangan candi itu disedari dan dikhabarkan kepada umum oleh Datuk V Nadarajan dan disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof P Ramasamy, yang dahulunya pernah mengkaji mengenai kehadiran dinasti Chola di Lembah Bujang.

“Kehancuran seperti ini boleh dielak sekiranya Pejabat Tanah Merbok mengawasi dan memaklumkan pihak pemaju mengenai kewujudan struktur bersejarah ini. Bukan sahaja ini tidak dilakukan, pihak pemaju juga diberi kebenaran untuk meratakan kawasan terbabit.

“Kelalaian dan kegagalan pengurusan warisan oleh Kerajaan Negeri Kedah mengakibatkan kehilangan warisan yang tidak masuk akal. Ia adalah suatu titik hitam bagi Malaysia yang gagal menjaga tinggalan sejarah untuk generasi akan datang sedangkan tugas menjaga monumen bersejarah di Lembah Bujang adalah tugas mulia yang dipertanggungjawabkan ke atas kerajaan Persekutuan dan negeri,” tambahnya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan harus berhenti beroperasi secara ‘remote control’ daripada pejabat berhawa dingin di Putrajaya, malah dana harus disediakan untuk menubuhkan pejabat warisan di negeri yang kaya dengan tapak arkeologi seperti Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.

Katanya, kerajaan negeri Kedah harus menggunakan episod malang ini untuk memperkasakan usaha bagi merangka plan pengurusan warisan arkeologi untuk melindungi struktur sejarah yang masih tinggal di Lembah Bujang.
“Saya cadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera bagi menyenaraikan Lembah Bujang sebagai sebuah tapak warisan di bawah UNESCO,” katanya.-Roketkini.com