Berita

DAP amal politik ‘kebenaran’ di Sarawak

KUCHING, 10 DISEMBER: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, DAP mengamalkan politik ‘kebenaran’ bagi mendapatkan sokongan rakyat negeri itu, tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang selama ini berbohong kepada mereka.

“Tidak seperti BN, DAP hanya tawarkan kebenaran kepada rakyat Sarawak, khususnya kepada penduduk di pedalaman.

“Kita berikan hujah politik yang berasaskan fakta dan nombor kepada mereka. Mereka (BN dan kerajaan) pula selama ini sembunyikan fakta dan berbohong,” katanya memetik laman Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika membidas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Jaafar yang mendakwa Pakatan Rakyat (PR) berbohong apabila mendakwa sokongan rakyat Sarawak terhadap mereka semakin bertambah.

Katanya, politik yang diamalkan DAP itu ternyata mendapat maklum balas positif, walaupun ada kalanya sukar untuk meyakinkan mereka, terutama penduduk di pedalaman.

“Di sana, sejumlah besar tidak terdedah kepada strategi dan dasar DAP dan PR, terutama penduduk di pedalaman.

“Namun, kedudukan kita semakin kukuh. DAP dapat sokongan kuat daripada golongan Bumiputera di sana. Wan Junaidi patut berhenti sebarkan penipuan mengenai strategi dan dasar DAP,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, PR berjaya memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri, pertambahan lapan kerusi berbanding PRN sebelumnya, serta mendapat 41.23 peratus undi popular.

Pada 11 September lalu, DAP melancarkan kempen Impian Sarawak yang bertujuan memperluaskan perkhidmatan parti dan memupuk kesedaran politik kepada penduduk luar bandar, yang umumnya masih tidak mendapat kemudahan asas sepatutnya.

Antara program yang sudah dilaksanakan adalah membaik pulih rumah gawai di Bau dan membina sistem air graviti di Kampung Sait – Muk Ayun, dalam kawasan Parlimen Mambong.-Roketkini.com