Berita

Guan Eng minta maaf jika Jahara terasa hati dengan panggilan ‘nenek rasis’

GEORGE TOWN, 10 DISEMBER: Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak berlengah, malah terus meminta maaf jika Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Jahara Hamid secara peribadi terasa hati dengan panggilan ‘nenek rasis’.

Guan Eng berkata demikian kerana Jahara membuat tuduhan jahat apabila menyatakan Majlis Perbandaran Seberang Perai mengambil tindakan selektif terhadap penjaja Melayu.

Katanya, jika perkataan nenek rasis itu membuatkan Jahara terasa hati, jadi beliau bersetuju hanya memanggil Jahara sebagai seorang yang rasis.

“Saya memohon maaf kerana menggunakan perkataan ‘nenek’, tetapi beliau tetap seorang yang rasis kerana memainkan api kebencian terhadap kaum dan agama melalui pembohongannya, konon saya telah meluluskan penukaran nama Pulau Jerejak menjadi Pulau Mazhu (seorang dewi Cina).

“Pembohongan ini dengan memainkan sentimen agama sedangkan pulau Mazhu ini tidak wujud.

“Satu lagi pembohongan Jahara ialah apabila bertanyakan kenapa tiada tindakan diambil ke atas empat gerai tanpa lesen milik pengusaha Cina di Pantai Bersih, dekat Butterworth,” katanya dalam kenyataan media di Komtar, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau sengaja tidak menyebut bahawa tiada tindakan diambil terhadap lebih empat pengusaha gerai Melayu tanpa lesen dalam kawasan yang sama.

Katanya, jelas sekali tidak wujud ‘double standard’ seperti yang didakwa dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan berdiam diri terhadap penipuan yang bertujuan menimbulkan kebencian antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Beliau juga menafi dakwaan Jahara dan menegaskan kerajaan negeri tidak pernah memberi sebarang kelulusan bagi pertukaran nama dan sedang menunggu laporan terperinci daripada Pejabat Tanah berhubung isu ini.-Roketkini.com