Berita

Ridhuan Tee cauvinis lelaki -Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching menyifatkan kenyataan seksis yang dilontarkan Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini adalah bukti jelas beliau tidak layak bergelar seorang pensyarah.

“Kenyataan sebegitu amat memalukan, saya tidak faham bagaimana seorang yang bergelar Profesor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) gagal memahami bahawa setiap individu berhak dan bebas menentukan keputusan untuk dirinya sendiri sama ada mahu berkahwin atau sebaliknya.

“Apa yang dinyatakan Ridhuan Tee itu juga menunjukkan beliau adalah seorang cauvinis lelaki yang tidak boleh berdebat berdasarkan fakta.

“Ia sama sekali tidak perlu baginya mengeluarkan kenyataan bersifat diskriminasi jantina kepada kritikan Teresa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Kulai mendesak Ridhuan Tee agar menarik balik kenyataan itu dan segera memohon maaf kepada Teresa.

Nie Ching juga memohon pertimbangan UPNM untuk mengeluarkan Ridhuan Tee daripada terus mengajar di UPNM.

“Ia begitu membimbangkan jika beliau terus dibenarkan mengajar di UPNM, sebuah universiti yang didominasi lelaki.

“Saya khuatir masa depan pegawai tentera negara ini akan sensitif pada jantina dan tidak tahu bagaimana menghormati wanita jika Ridhuan Tee dibenarkan terus mengajar,” ujarnya. -Roketkini.com