Berita

UMNO lebih utamakan politik berbanding tingkatkan mutu pendidikan negara – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah untuk meletakkan negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Maths and Science Survey (TIMSS) menjelang tahun 2021.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak boleh lagi membuat janji kosong, sebaliknya meletakkan satu sasaran serius dan boleh dicapai.

Beliau berkata, ini kerana mutu pendidikan Malaysia semakin merosot dan berada pada kedudukan yang sangat memalukan berbanding negara lain terutama di rantau Asia.

“Muhyiddin perlu membentuk rancangan padu untuk membuktikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia mampu meletakkan pelajar berusia 15 tahun negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam PISA 2021, bukan lagi janji kosong kerana Malaysia mempunyai dua Menteri Pelajaran.

“Langkah itu bagi mengelak mutu pendidikan negara terus merosot di bawah piawaian antarabangsa, sekaligus mengubah status Malaysia yang dikenali pada awal Merdeka sebagai sebuah negara cemerlang mutu pendidikan rendah, menengah, dan universitinya, kini menjadi sebuah negara yang pencapaiannya serba biasa sahaja,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Selasa lalu, pengumuman PISA 2012, ujian global membabitkan 510,000 pelajar berusia 15 tahun dari 65 negara bagi subjek sains, matematik, dan bacaan, mendapati pencapaian pelajar Malaysia bukan saja di bawah tahap purata antarabangsa, malah ketinggalan empat atau lima tahun di belakang rakan mereka dari negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan.

Manakala senarai baru Times Higher Education BRICS and Emerging Economies Rankings 2014 pula mengesahkan bahawa universiti di Malaysia tidak lagi tergolong sebagai antara universiti terbaik di dunia, memandangkan sepanjang tiga tahun berturut-turut tiada satu pun universiti negara ini berjaya memasuki senarai 400 universiti terbaik Times Higher Education World University Rankings bagi tahun 2011-12, 2012-13 dan 2013-14.

Bagi senarai baru itu, dua universiti Malaysia tergolong antara 100 universiti terbaik di kalangan universiti dalam 22 negara membangun iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-77 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di tangga ke-
95, anehnya, Universiti Malaya (UM) tidak tersenarai.

Malaysia masih ketinggalan di belakang Thailand yang lima universitinya tersenarai dengan King Mongkut’s University of Technology, Thonburi, menduduki tangga ke-29.

Dalam senarai baru itu, universiti China menduduki tangga teratas iaitu Peking University di tangga pertama dan Tsinghua University tangga kedua, selain 23 universiti lain yang menduduki senarai kelompok teratas.

21 institusi Taiwan termasuk juga dalam senarai 100 terbaik, India pula 10 institusi, malah, pencapaian Turki lebih baik daripada Malaysia apabila tujuh universiti negara itu turut tersenarai.

PISA 2012 dan Times Higher Education BRICS and Emerging Economies Rankings 2014 diumumkan ketika Perhimpunan Agung UMNO sedang berlangsung, tetapi ia tidak menarik perhatian walaupun seorang pemimpin atau perwakilan
UMNO meskipun ada resolusi khusus mengenai pendidikan pada persidangan itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, ini membuktikan pemimpin dan perwakilan UMNO hanya berminat dengan politik, bukannya memastikan memastikan semua pelajar Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban mendapat pendidikan terbaik bertaraf dunia dalam negara ini.

Beliau berkata, PISA diadakan setiap tiga tahun, bererti ada tiga lagi penilaian PISA yang akan dibuat iaitu pada 2015, 2018 dan 2021 sebelum Malaysia merealisasikan impiannya menduduki kelompok sepertiga teratas.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pelajar berusia 15 tahun Malaysia dijangka akan mencapai tahap purata antarabangsa dalam PISA 2015 dan PISA 2018 sebelum memasuki golongan sepertiga terbaik dalam PISA 2021. sama-sama kita lihat samada sasaran itu realistik dan mampu dicapai.

Menurutnya, sikap Muhyiddin berlainan daripada Menteri Pelajaran sebelum ini apabila menjauhi topik PISA 2012 seperti topik itu satu wabak, bukannya meyakinkan ibu-bapa bahawa Malaysia sedang cuba membina mahligai kayangan dan membentangkan rancangan padu meningkat mutu pendidikan negara.-Roketkini.com