Berita

Tubuh jawatankuasa khas pendidikan, satu lagi usaha kerajaan bazirkan wang rakyat

KUALA LUMPUR, 11 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempertikai keputusan Kementerian Pendidikan membentuk jawatankuasa khas bagi memperbaiki kedudukan negara dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu tidak akan membawa sebarang manfaat, malah akan menyebabkan satu lagi usaha membazirkan wang rakyat.

“Adakah mereka (kementerian) akan turut melantik perunding asing untuk meningkatkan prestasi yang lemah dalam PISA.

“Kementerian seharusnya perlu menyelesaikan masalah sebenar dan tidak terus membazirkan wang rakyat,” katanya seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider.

Beliau merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2022 yang membabitkan perbelanjaan RM20 juta kepada McKinsey & Co, sebuah syarikat perunding yang tidak pakar dalam bidang pendidikan.

Zairil menegaskan, Kementerian Pendidikan adalah pembelanja terbesar wang negara tapi gagal menunjukkan sebarang peningkatan membanggakan dalam pendidikan.

Dalam Bajet 2014, Kementerian Pendidikan diperuntukkan sebanyak RM54 bilion bersamaan 21 peratus daripada jumlah perbelanjaan negara, yang menjadikannya sebagai kementerian yang menerima peruntukan paling banyak.

“Jika mereka menghabiskan semua wang ini untuk perunding dan kemudian menunjukkan hasil positif, ia tidak akan menjadi masalah tapi sebaliknya taraf pendidikan negara semakin menurun,” ujarnya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menyatakan untuk membentuk jawatankuasa khas sebagai tindak balas kepada kajian PISA.

Tugas jawatankuasa itu adalah mengenalpasti dan memantau inisiatif untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam penilaian antarabangsa.

Pihak kementerian juga mendakwa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan turut membantu Malaysia mencapai kedudukan lebih baik dalam PISA akan datang.-Roketkini.com