Berita

Hospital Serdang runtuh lagi, Menteri abai tanggungjawab

KUALA LUMPUR, 11 DISEMBER: DAP kesal dan mengecam kerajaan terutama Kementerian Kesihatan kerana gagal menangani masalah siling Hospital Serdang yang berulang kali runtuh sejak dibuka pada Disember 2005.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, Menteri Kesihatan, Dr S Subramaniam dan Menteri Kerja Raya juga gagal mendedahkan identiti kontraktor utama, punca keruntuhan dan pihak yang bertanggungjawab.

“Apabila siling wad bersalin Hospital Serdang runtuh untuk kali ketiga pada 30 September tahun ini, saya sudah menggesa Subramaniam memberi jaminan supaya insiden seperti itu tidak berulang dan beliau harus meletakkan jawatan.

“Adakah Subramaniam tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk bertindak balas ketika itu? Yang menunjukkan beliau tidak memiliki keupayaan dan kebijaksanaan menjadi menteri.

“Jika Subramanian menerima cabaran saya, beliau perlu menyerahkan surat peletakan jawatan kerana sudah tiga kali dalam tempoh dua bulan setengah masalah sama berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nie Ching yang juga Ahli Parlimen DAP Kulai, sehingga kini terdapat enam insiden sama dilaporkan dan ia merupakan satu rekod dunia memalukan terhadap sebuah hospital yang dibina dengan harga RM690 juta.

“Pada Oktober tahun ini, saya mengingatkan Menteri Kesihatan, memandangkan waktu kerja mereka yang panjang, kakitangan perubatan adalah kumpulan risiko terbesar terhadap runtuhan.

“Dan lebih menyedihkan, runtuhan terbaru siling Hospital Serdang pada 9 Disember lalu hampir mencederakan seorang isteri dan empat anak kakitangan hospital itu.

“Saya baru saja merancang untuk bersalin bayi kedua di Hospital Serdang, namun atas nasihat rakan, cadangan itu kini perlu dipertimbangkan semula.

“Saya melahirkan bayi perempuan pertama di Hospital Serdang tahun lalu. Saya kagum dan bersyukur dengan profesionalisme serta keramahan kakitangan hospital.

“Walaupun saya mempunyai pilihan untuk ke hospital lain bagi mengelak sebarang risiko, soalan paling penting adalah siapa yang boleh menjamin keselamatan kakitangan dan keluarga mereka yang berkhidmat serta tinggal di Hospital Serdang,” soal Nie Ching. -Roketkini.com