Rencana

Selepas Muhyiddin bisu, McKinsey & Co pula didesak menjawab langkah melonjakkan Malaysia dalam PISA 2021 – Lim Kit Siang

SELEPAS Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘membisu’ seribu kata mengenai pencapaian pelajar Malaysia dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2012, yang diumumkan minggu lalu, kini perunding asing yang dibayar RM20 juta bagi menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Mckinsey & Co pula didesak memberikan jawapan melegakan bagaimana Malaysia boleh melakukan lonjakan berganda supaya tidak terus tercorok dalam PISA 2021 nanti.

Ramai rakyat Malaysia sudah tentu kecewa dengan sikap Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri kerana tidak memberi sebarang ulasan terhadap kemerosotan pencapaian pelajar Malaysia dalam PISA 2012 itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mahu McKinsey & Co menjawab persoalan bagaimana Malaysia mahu menjadi “negara ajaib” untuk melakukan lonjakan berganda daripada tahap sepertiga tercorot ke tahap sepertiga terbaik bagi PISA 2021.

Sasaran itu dianggap mustahil boleh dicapai kerana tidak ada negara di dunia sebelum ini yang mampu melakukan lonjakan sedemikian dalam tempoh empat ujian tiga tahunan PISA sejak 2003 hingga 2012.

Jika Malaysia mampu melakukan transformasi pendidikan daripada sebuah negara serba sederhana kepada semua negara cemerlang dalam masa singkat, sudah tentu negara akan dicemburui dan dianggap sebagai negara mithali oleh negara lain di dunia.

Berdasarkan keputusan PISA 2012, Malaysia ketika ini masih terperangkap di tangga sepertiga terbawah dalam ujian PISA bagi tiga subjek iaitu matematik 421 mata, sains (420 mata) dan bacaan (398), sedangkan untuk menyertai kelompok menengah, Malaysia perlu mencatat 450 mata bagi matematik, sains (442) dan bacaan (446).

Manakala untuk memasuki kelompok sepertiga teratas pula, Malaysia perlu mencatat 532 mata bagi matematik, sains (511) dan bacaan (508).

Bagaimanapun, bagi ujian PISA 2003, 2006, 2009 dan 2012, nilai ambang bagi setiap penilaian meningkat, misalnya Hong Kong mencatatkan mata tertinggi bagi subjek matematik dengan 550 mata pada 2003, tetapi pada PISA 2012 angka tertinggi dicatatkan Shanghai dengan 613 mata.

Begitu juga bagi subjek sains, pada 2003 Finland mencatat pencapaian terbaik dengan 548 mata, sedangkan bagi PISA 2012 Shanghai mencatatkan 580 mata. Bagi subjek bacaan pula, pada 2003 pencapaian terbaik dilakukan Finland dengan 543 mata, manakala pada PISA 2012 pencapaian terbaik dicatat Shanghai pada 570 mata,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berdasarkan PISA 2012, tanpa mengambil kira kemungkinan nilai ambang akan meningkat setiap tiga tahun selama 10 tahun akan datang, Malaysia perlu mencatatkan peningkatan 111 mata untuk matematik, sains (91 mata) dan bacaan (110 mata) di antara PISA 2012 hingga PISA 2021 untuk menduduki tangga sepertiga teratas.

Rakyat Malaysia menanti jawapan segera daripada Muhyiddin dan McKinsey mengenai langkah Malaysia kerana belum ada negara mampu membuat lonjakan berganda daripada tangga sepertiga tercorot kepada tangga sepertiga teratas dalam ujian PISA sebelum ini.

Brazil mencatatkan peningkatan terbesar sebanyak 35 mata dalam tempoh empat ujian PISA iaitu daripada 2003 hingga 2012apabila berjaya meningkatkan mata daripada 356 kepada 391, namun masih kekal dalam kelompok sepertiga tercorot.

Turki mencatat peningkatan terbesar bagi subjek sains iaitu sebanyak 29 mata, daripada 434 mata pada 2003 kepada 463 mata pada 2012, tetapi hanya mampu melonjak daripada kelompok sepertiga tercorot ke kelompok pertengahan.

Bagi bacaan pula, Jepun mencatatkan peningkatan terbesar sebanyak 40 mata daripada 2003 hingga 2012, namun masih kekal dalam kelompok pertengahan.

Bagaimana Malaysia mahu melakukan lonjakan berganda bagi ketiga-tiga subjek itu sekiranya pencapaian sedemikian tidak pernah dicatat mana-mana negara di dunia,” katanya.

Matlamat Malaysia untuk menduduki tangga sepertiga teratas dalam PISA 2021 yang disebut sebelum ini dianggap hanya ‘angan-angan mat jenin’ yang dibina McKinsey dengan menggunakan wang pembayar cukai Malaysia dan tidak lebih hanya satu kerja membina “mahligai kayangan” oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, semua pemimpin dan ahli pendidikan Barisan Nasional (BN)

Sejak minggu lalu lagi Muhyiddin diminta menggariskan rancangan padu bagaimana pelajar berusia 15 tahun Malaysia boleh mencipta keajaiban membuat lonjakan berganda menjelang 2021.

Bagaimana, Muhyiddin dan birokrasi pendidikan yang diperuntukkan sebanyak RM54.6 bilion atau 21 peratus daripada Belanjawan 2014 itu membisu seribu bahasa.

Muhyiddin atau birokrasi pendidikannya mungkin tidak mahu menjawab atau belum menemui jawapan yang munasabah atau kerana tidak tahu memenjawab.

Bagaimanapun rakyat Malaysia berhak mendapatkan jawapan daripada mereka yang lebih layak iaitu McKinsey & Co dari Amerika yang diupah kerajaan menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia membabitkan perbelanjaan RM20 juta.

Yuran perundingan yang dibayar kepada McKinsey & Co untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia itu turut menerima sindiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliau juga mampu melakukannya.

“Sebenarnya, perkara yang disentuh Mahathir itu amat berkaitan. Mungkin saya tersilap, namun seingat saya inilah kali pertama dalam sejarah negara, rakyat Malaysia tidak mampu menyediakan laporan atau pelan induk pendidikan negara sendiri sehingga terpaksa meminta bantuan perunding asing,” kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Persoalannya sekarang, adakah Kementerian Pendidikan yang membelanjakan lebih RM50 bilion wang rakyat atau dalam mana-mana universiti, sama ada Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia atau Universiti Pendidikan Sultan Idris, tidak ada pakar yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Atau kerajaan sudah hilang keyakinan terhadap keupayaan, kemampuan, profesionalisme dan kecemerlangan ahli akademik atau pakar dari universiti sendiri untuk menyediakan pelan induk pendidikan negara.

Bagaimanapun, memandangkan hanya McKinsey & Co yang tampaknya mampu menjawab persoalan yang timbul selepas pengumuman keputusan PISA 2012, Muhyiddin patut menghubungi dan menuntut jawapan daripada McKinsey dan mendedahkan kepada umum.

McKinsey, wajib memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia kerana RM20 juta dibelanjakan untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, jika tiada jawapan diterima atau jawapan tidak memuaskan, Muhyiddin perlu menuntut semula wang RM20 juta daripada syarikat perunding itu.-Roketkini.com

Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Johor