Berita

PR Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada anasir jahat perkauman UMNO, BN – Guan Eng

GEORGE TOWN, 11 DISEMBER: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang menegaskan tidak akan tunduk kepada anasir jahat perkauman daripada Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang memainkan politik “pecah dan perintah”, yang ditolak rakyat Pulau Mutiara itu dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu bila PR berjaya menambahkan kerusi DUN dan undi popular kepada 68 peratus.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini UMNO gagal menunjukkan bukti terhadap fitnah mereka bahawa Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang meluluskan nama Pulau Jerejak untuk ditukarkan kepada Pulau Mazhu (satu dewa Buddha) dan membina Tokong Mazhu di pulau itu.

Katanya, dakwaan yang dibuat Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Jahara Hamid adalah sangat berbahaya kerana bersifat rasis apabila cuba menimbulkan isu agama dan perkauman.

“Tuduhan palsu Jahara itu dimuatkan secara meluas dalam blog pro-UMNO untuk mencemarkan lagi imej Kerajaan Negeri PR dan saya sebagai Ketua Menteri Cina di kalangan orang Melayu dan Islam.

“Sebagai seorang peguam, Jahara sepatutnya tahu bahawa sebarang penukaran nama pulau itu mesti melalui proses perundangan dan diwartakan.

“Sebenarnya, bukan saja tidak ada sebarang pewartaan, malah tidak ada sebarang kelulusan oleh kerajaan negeri atau permohonan oleh mana-mana pihak untuk menukarkan nama Pulau Jerejak, kecuali UMNO dengan sengaja menimbulkan nama dewa Buddha untuk menimbulkan kebencian kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan media, di Komtar, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, satu lagi dakwaan jahat Jahara yang bersifat rasis ialah mengapa hanya mengeluarkan kompaun saman dan tidak ada sebarang tindakan perobohan ke atas gerai haram Cina di Pantai Bersih, Butterworth.

Jahara juga cuba mengaitkan tindakan penguatkuasaan perobohan tidak dikenakan ke atas gerai haram Cina kecuali hanya ke atas gerai Melayu.

“Usaha Jahara memainkan api perkauman adalah tidak bertanggungjawab kerana laporan awal Majlis Perbandaran Seberang Perai(MPSP) menunjukkan bahawa ada satu penjaja Cina dan enam penjaja Melayu yang haram di sekitar Pantai Bersih.

“Sebenarnya, MPSP tidak mengambil tindakan perobohan bukan sahaja ke atas satu gerai haram Cina, malah tidak bertindak ke atas enam gerai haram Melayu.

“Adalah lebih munasabah jika Jahara bertanya mengapa tidak ada tindakan diambil ke atas tujuh gerai haram di Pantai Berish.

“Bagaimanapun, Jahara bertindak melampau apabila cuba menjadikan ia satu isu perkauman dengan mensasarkan hanya sebuah gerai haram Cina bila ada juga enam lagi penjaja haram Melayu. Sekarang jelas bukan sahaja UMNO memang rasis, malah yang dianggap pemimpin dan peguam seperti Jahara pun bersikap rasis,” ujarnya.-Roketkini.com