Rencana

Bekas KPN lupa, Mahathir juga kritik, persoal Perlembagaan – Oleh Howard Lee dan Dyana Sofya

BEKAS Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar ketika berucap di majlis jamuan teh diraja bersama pesara kerajaan sempena ulang tahun ke-68 Sultan Selangor menyelar mereka yang menyentuh isu ‘taboo’ secara tidak sopan.

Beliau menyalahkan ‘fenomena media alternatif’ yang pada pendapat beliau merosakkan institusi diraja, agama Islam dan menyebabkan rakyat Malaysia mula menyoal hak istimewa Bumiputera.

Beliau berkata seolah-olah perbuatan menyoal institusi diraja dan hak istimewa Bumiputera ini baru lagi berlaku dan tidak pernah didebat sebelum ini. Ini adalah kenyataan yang tidak masuk akal dan mempersendakan memori dan kebolehan berfikir rakyat Malaysia.

Tun Hanif yang pernah bertugas ketika negara ditadbir oleh Tun Mahathir mungkin lupa dengan beberapa kejadian dan fakta yang berlaku satu ketika dulu.

Tun Mahathir pada 1965, di Parlimen telah mempersoalkan dan mengkritik Perlembagaan Negara dan mengatakan bahawa Perkara 153 memalukan orang Melayu. Serangkap kenyataan beliau di dalam Hansard 11 Ogos 1965, muka surat 41-43 seperti berikut;

“Saya tidak percaya, saya sebutkan lagi tidak percaya dengan diadakan, dengan dicatitkan di dalam Perlembagaan hak2 Bumiputra, maka ini akan membawa kapada kesenangan bagi orang Melayu.

“Dan pada satu masa kita akan buang sama sekali hak istimewa orang Melayu. Saya faham bahawa hak ini yang ada terchatit di dalam Perlembagaan pada masa sekarang juga ialah satu tanda kehinaan bagi orang Melayu.

Sejak 1965 lagi, Tun Mahathir bukan sahaja mempersoalkan hak istimewa orang Melayu , beliau juga mengatakan bahawa hak istimewa orang Melayu ini akan melemahkan orang Melayu sendiri.

“I feel very sad when I hear Malays talk about Ketuanan Melayu. Apparently, there is Malay reserve land because we are Tuan. But to have to live in a Malay reserve is an insult because that means I’m so weak that I’m to be protected in my own country. It is not something to be proud of.”
“Saya berasa sedih apabila orang Melayu bercakap mengenai Ketuanan Melayu. Kononya, terdapat tanah rizab Melayu kerana kita adalah ‘Tuan’. Tetapi untuk tinggal di tanah rizab Melayu adalah satu penghinaan kerana ia menunjukkan saya sangat lemah dan perlu dilindungi di dalam negara saya sendiri. Ini bukan satu perkara yang boleh dibanggakan.”

Kenyataan ini dikeluarkan Tun Mahathir sendiri pada 6 Jun 2011 ketika beliau berucap di National Professors’ Congress. Beliau konsisten dalam mengeluarkan kenyataan berkenaan anti-hak istimewa orang Melayu dan pendirian anti-perlembagaan, terutamanya Perkara 153.

Tun Mahathir yang merupakan mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun, menunjukkan taat setia kepada Raja dan Negara pada 1983 dan 1993, pada masa yang sama, beliau juga memaksa kelucutan kuasa diraja untuk melantik pegawai tinggi kerajaan walaupun dibantah oleh Majlis Raja-Raja.

Dengan mengeksploitasikan duapertiga majoriti di Parlimen, Tun Mahathir bukan sekali tetapi dua kali mendalangi pindaan Perlembagaan Negara bukan sahaja untuk merendahkan sistem monarki tetapi juga merampas prerogatif atau hak mutlak diraja.

Sekiranya ada penyokong pembuatan khianat dan mempersoalkan insitusi diraja, UMNOlah yang juara, tidak asing lagi. ‘Fenomena media alternatif’ bukan sahaja tidak dapat menandingi, malah tidak layak untuk berada satu barisan dengan UMNO dalam mengkhianati dan mempersoalkan institusi diraja.

Walaupun ucapan beliau tidak masuk akal dan tidak sesuai untuk didengari oleh sesiapa, beliau ada membuat satu kenyataan mendakwa bahawa ‘adanya rancangan besar untuk membawa kepada kehancuran negara’ dan kami bersetuju dengan kenyataan ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang gemar menyalahgunakan dana, mengkayakan kroni secara neponistik dengan mengorbankan rakyat Malaysia sendiri, sentiasa mengeluarkan kenyataan rasis dan merepek untuk menghukum sesiapa yang tidak menyokong mereka adalah pastinya tanda-tanda yang menyokong kenyataan beliau tentang adanya ‘rancangan besar untuk menghancurkan negara’.

Kami dengan ini meminta Tun Hanif Omar menarik semula dakwaan beliau yang menyimpang dan tidak berasas di dalam ucapannya di jamuan teh diraja sempena ulangtahun Sultan Selangor, yang kami percaya secara tidak langsung juga menghina Sultan Selangor.

Kami juga meminta Tun Hanif Omar untuk menyokong kenyataan di atas sekiranya beliau benar-benar ikhlas menegakkan hak orang Melayu dan insitusi diraja bahawa Tun Mahathir dan UMNO adalah dalang sebenar ‘rancangan besar untuk membawa kepada kehancuran negara’ yang beliau sebutkan dan sedang berjaya membawa negara ini ke arah kealpaan.

Howard Lee Chuan How adalah ADUN Pasir Pinji merangkap Setiausaha DAPSY Negeri Perak.
Dyana Sofya Mohd Daud adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap EXCO DAPSY Negeri Perak.