Berita

Tidak tolak pinda takrif Islam, Najib khianati GKS

KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak menolak usul memasukkan perkataan ‘Ahli Sunnah Wal Jamaah’ pada takrifan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan bukti beliau mengkhianati Gerakan Kesederhanaan Global (GKS) yang ditubuhnya sendiri.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, usul itu ternyata disambut baik Najib selepas berucap menutup Perhimpunan Agung UMNO lalu dan berjanji perlembagaan UMNO akan dipinda untuk itu.

“Walaupun Najib tidak nyatakan persetujuan untuk pinda Perlembagaan Persekutuan, beliau tidak menolaknya ketika ditanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, Najib yang juga Presiden UMNO pada 2010 menubuhkan GKS dan menyeru pemimpin dan penganut agama seluruh dunia mengecam dan menolak pelampau agama masing-masing.

“Namun, jauh daripada mengamalkan saranannya sendiri, kerajaan Najib sendiri konsisten menuruti permintaan pelampau itu,” katanya yang menyifatkan usul itu sebagai mengarut.

Cadangan itu dicetuskan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan mesyuarat agung sayap UMNO, 3 Disember lalu, kononnya untuk menjaga akidah umat Islam di Malaysia.

Pada 6 Disember lalu, Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul meminda Perlembagaan Persekutuan itu akan dibawa kepada kerajaan untuk dibincangkan.

Katanya lagi, percubaan terbaru kerajaan untuk menghadkan takrifan Islam itu adalah penghinaan jelas kepada agama.

“Keghairahan kerajaan dalam penindasan kumpulan minoriti Islam seperti Syiah bercanggah sepenuhnya dengan prinsip sederhana dan inklusif.

“Ia juga bertentangan dengan piagam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang menyatakan perlunya untuk ‘memupuk nilai mulia Islam tentang kesederhanaan, toleransi, hormat dan kepelbagaian’, serta ‘untuk mempromosikan hak asasi dan kebebasan fundamental’,” katanya lagi.

Justeru itu, katanya lagi, jelas Najib mengkhianati gerakan yang dia mulakan dan GKS kini tidak lebih sekadar topeng untuk menutup kecenderungan ekstrim, taksub dan pemikiran sempit BN.

7 Disember lalu, Najib menyatakan satu perhimpunan agung khas akan diadakan bagi memasukkan takrif Ahli Sunnah Wal Jamaah ke dalam perlembagaan UMNO.

Saifuddin suara yang waras dalam UMNO.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu memuji tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah yang tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Beliau merujuk Saifuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GKS pada sidang media 10 Disember lalu menyatakan takrifan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sudah memadai, tanpa perlu menetapkan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.

“Saifuddin mengatakan percubaan takrifkan Islam dengan cara sebegitu adalah tidak inklusif. Mujurlah, suara kewarasan datang daripada beliau,” katanya lagi.-Roketkini.com