Berita

Cukai taksiran: Rakyat terbeban kenaikan serentak dengan harga barang

KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER: Rata-rata kebanyakan rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan menaikkan kadar cukai taksiran hartanah sehingga 300 peratus ketika mereka dihimpit dengan pelbagai kenaikan harga barangan lain.

Perasaan itu terhambur ketika perhimpunan membantah kenaikan cukai taksiran yang disertai kira-kira 300 orang di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, pagi tadi.

Yee Kam Heng (kiri)

Yee Kam Heng (kiri)

Seorang warga kota, Yee Kam Heng, 57, berkata, kenaikan cukai taksiran itu terlalu tinggi dan ternyata tidak munasabah dan membebankan rakyat.

“Bukan tidak boleh naik langsung, tapi terlalu tinggi dan tidak munasabah. Pada masa sama, elektrik dan petrol juga naik. GST (Cukai barangan dan Perkhidmatan) akan dikenakan nanti,” katanya.

Katanya lagi, kenaikan itu lebih menyedihkan kerana tidak disertakan dengan pembaikan infrastruktur dan perkhidmatan DBKL sendiri.

“Infrastruktur masih seperti dulu. Kalau hujan lebat akan banjir, jalan pula berlubang,” kata Yee yang tinggal di Cheras.

Pada sesi Parlimen lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar cukai taksiran berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Namun, berikutan bantahan pelbagai pihak, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan penangguhan pelaksanaan kenaikan itu.

Joe (kiri)

Joe (kiri)

Warga Kuala Lumpur yang hanya ingin dikenali sebagai Joe, 25, pula menyifatkan rakyat terpaksa menanggung kenaikan itu akibat sikap kerajaan yang boros berbelanja.

“Negara kita kaya, tapi kalau kerajaan dah boros berbelanja, duit dah habis, kitalah yang terpaksa tanggung,” katanya lagi.

Kira-kira 20,000 surat bantahan dihantar rakyat dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kuala Lumpur di Ibu Pejabat DBKL pagi tadi.-Roketkini.com