Berita

Kerajaan ‘tidak ada pilihan’ wajib ditolak

KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee mengecam kenyataan kerajaan yang mendakwa tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengurangkan subsidi untuk mengelak daripada terus mengalami defisit kewangan.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed itu jelas tidak bertanggungjawab dan membelakangi kepentingan rakyat.

“Banyak lagi pilihan, Menteri. Hapuskan rasuah, ambil alih konsesi tol lebuhraya mengikut syarat perjanjian, mansuhkan monopolis beras, gula, besi keluli dan barangan asas.

“Laksanakan perolehan tender terbuka. Hentikan penswastaan secara rundingan terus. Hukum Menteri serta pegawai yang tidak bertanggungjawab, pecah amanah dan runding semula perjanjian janakuasa elektrik bebas berat sebelah.

“Kepentingan rakyat mesti didahulukan, jangan hanya berjanji kosong atau lebih baik ubah saja kerajaan yang ‘tidak ada pilihan’ ini,” katanya dipetik daripada laman sosial Facebook milik beliau.

Mustapa dalam forum sambutan tiga tahun Program Transformasi Ekonomi di Putrajaya hari ini menyatakan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain meneruskan polisi pengurangan subsidi.

Menurutnya, walaupun keputusan itu menyebabkan kos sara hidup namun jika tidak dilakukan, ia akan terus memberi tekanan kepada kantung negara.

“Apa lagi pilihan kita?,” soal Mustapa. -Roketkini.com