Berita

Muhyiddin, Hishammuddin mesti bertanggungjawab terhadap kemerosotan Malaysia dalam TIMSS, PISA

KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER: Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein harus bertanggungjawab terhadap kemerosotan tahap pendidikan di Malaysia sejak 10 tahun lalu, seperti dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2007 dan 2011 serta Programme for International Student Assessment (PISA) 2009 dan 2012.

Hishammuddin yang menjadi Menteri Pendidikan antara 2004 dan 2009 harus bertanggungjawab dengan prestasi buruk Malaysia dalam TIMSS 2007 dan PISA 2009, manakala Muhyiddin yang mengambil alih menerajui Kementerian Pelajaran pada April 2009 juga perlu bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi negara dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pencapaian pelajar Malaysia dalam ujian penilaian antarabangsa adalah penting kerana beliau sendiri bertanggungjawab membabitkan Malaysia dalam penilaian pendidikan global itu.

“Saya bertemu Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan meyakinkan beliau bahawa Malaysia perlu menyertai dalam TIMSS pada 1996.

“Najib bersetuju dengan saya bahawa Malaysia patut ikut serta dalam penilaian pendidikan antarabangsa untuk membolehkan negara mengetahui pencapaian pelajar Malaysia berbanding pelajar di negara lain. Malaysia ikut serta dalam penilaian pendidikan global TIMSS 1999.

“Saya sendiri yang mengirim emel kepada penganjur TIMSS yang berpangkalan di Netherlands iaitu International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) untuk bertanya mengenai penyertaan Malaysia dalam TIMSS, memandangkan Malaysia ketika itu belum terbabit dalam penilaian empat tahun sekali TIMSS untuk pelajar Gred Lapan (Tingkatan Dua).

“Dalam TIMSS 1999, mata Malaysia bagi subjek matematik dan sains (masing-masing 519 dan 492) berada di atas tahap purata antarabangsa iaitu menduduki tangga ke-16 daripada 38 negara bagi subjek matematik dan di tangga ke-22 bagi subjek Sains.

“Dalam TIMSS 2003, prestasi Malaysia hampir sama dengan 1999, mata Sains meningkat dan berada di atas tahap purata antarabangsa, manakala mata Matematik merosot sedikit tetapi masih di atas tahap purata antarabangsa dan kedudukan Malaysia meningkat ke tangga ke-10 di kalangan 45 negara,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam respons terhadap keputusan TIMSS 2003 pada Disember 2004, beliau mengingatkan Hishammuddin supaya tidak terlalu girang dengan prestasi Malaysia dan menyarankan satu jawatankuasa khas dibentuk untuk meneliti keputusan TIMSS 2003 dan menyusun strategi untuk meletakkan Malaysia di kalangan lima negara terbaik dalam penilaian TIMSS pada masa depan.

Dalam TIMSS 2003, pelajar Asia mendominasi ujian matematik dan sains, dengan Singapura mencatat pencapaian terbaik dalam kedua-dua subjek itu seperti keputusan di bawah:

Lima terbaik dalam matematik ialah Singapura 605 mata, Korea Selatan (589), Hong Kong (586), Taiwan (585) dan Jepun (570), purata antarabangsa 466.

Lima terbaik dalam Sains ialah Singapura 578 mata, Taiwan (571), Korea Selatan (558), Hong Kong (556), Estonia dan Jepun (552), purata antarabangsa 473

“Saya menyebut pada Disember 2004 bahawa jika Malaysia tidak mampu mendaki ke tangga lima terbaik, sekurang-kurangnya kita boleh mencapai tangga keenam dalam
kedua-dua ujian matematik dan sains.

“Malangnya, prestasi Malaysia merosot teruk dalam TIMSS 2007 dan 2011 berbanding pelajar di negara lain.

Menjelang 2011, mata Matematik Malaysia turun kepada 440 mata (ke-26 di kalangan 42 negara), manakala mata Sains merosot ke 426 mata (ke-32 di kalangan 42 negara).

Hampir 38 peratus pelajar Malaysia gagal mencatatkan mata yang baik dalam matematik dan sains pada 2011, jumlah ini dua kali ganda lebih tinggi daripada tahun 2007 dan lima kali lebih tinggi berbanding pada 1999.

Malaysia ikut serta dalam penilaian tiga tahunan PISA bagi pelajar berusia 15 tahun pada 2009 dan 2012 serta mencatat prestasi buruk apabila terjerumus ke tangga
sepertiga tercorot bagi subjek Bacaan, Matematik, dan Sains, selain berada di bawah purata antarabangsa dan OECD.

Paling membimbangkan, PISA 2012 menunjukkan lebih separuh daripada pelajar Malaysia (51.8%) yang terbabit dalam ujian itu tidak mempunyai keupayaan asas yang mencukupi dalam subjek Matematik, iaitu di bawah “Tahap 2” dan hanya 1.3% pelajar tergolong sebagai pelajar berpencapaian terbaik (Tahap 5 atau 6 dalam PISA 2012).

Sebagai perbandingan, Shanghai-China memiliki pelajar berpencapaian terbaik iaitu pada Tahap 5 atau 6, paling banyak (55.4%), diikuti Singapura (40%), Taiwan (37.2%),
Hong Kong (33.7%) dan South Korea (30.9%). Kira-kira 15 hingga 25 peratus pelajar Belgium, Kanada, Finland, Jerman, Jepun, Liechtenstein, Macao, Netherlands, New Zealand, Poland, dan Switzerland mencatatkan prestasi terbaik dalam matematik.

Pencapaian dalam PISA 2012 ini tidak selari dengan data dalam negara kerana menurut keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012, hanya 6.3% pelajar gagal dalam matematik, berbanding 51.8% pelajar dalam PISA 2012 gagal.

Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, DAP mahu agar dibentuk transformasi pendidikan yang tulen bagi memastikan kecemerlangan pendidikan semua pelajar bukan hanya untuk 1.3% pelajar manakala 51% daripada mereka gagal.-Roketkini.com