Budaya

Monocle berhabuk intelektual pelat bahasa – Aedi Asri

JIKA dibuat bancian, berapa ramaikah rakyat Malaysia yang peduli tentang bahasa? ‘Peduli bahasa’ di sini bukan merujuk kepada hal seperti polemik PPSMI – MBMMBI, pening-pening ‘Bahasa Melayu vs Bahasa Malaysia’ atau isu klasik, kegagalan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi berhubung bahasa yang digunakan di sekeliling kita sehari-hari. Apa yang mulut pertuturkan, apa yang telinga dengar, apa yang mata pandang – dan baca.

Alim ulama bahasa bercerita mengenai identiti dan pemikiran bangsa melalui bahasanya. Latin adalah bahasa rasmi ilmu falsafah, era penjajahan British menjadikan bahasa Inggeris lingua franca dunia.

Misalnya, bahasa Melayu memiliki beberapa kata ganti diri pertama tunggal, seperti ‘aku’ dan ‘saya’, berbanding bahasa Inggeris yang hanya ada ‘I’. Begitu juga dengan perkataan ‘love’, bahasa Melayu menjawabnya dengan tiga istilah – ‘kasih’, ‘sayang’ dan ‘cinta’. Setiap istilah – ‘aku’ dan ‘saya’, serta ‘kasih’, ‘sayang’ dan ‘cinta’ miliki beratnya yang tersendiri dan tidak wujud tanpa sebab.

Penguasaan bangsa dalam bidang tertentu akan menambahkan kekayaan kosa katanya. Pengabaian tragik terhadap proses penterjemahan menyebabkan kita terkial-kial menulis rencana sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.

Namun, yang paling penting, bahasa adalah alat komunikasi paling utama manusia. Bahasa membolehkan perasaan dan fikiran seseorang disampaikan kepada orang lain. Ini difahami semua, tanpa perlu ‘tahu’, tanpa perlu baca huraian akademik yang berjela-jela.

Ia memberi gambaran kepada penuturnya. Sebagai contoh kita boleh baca niat sebenar orang politik dengan caranya berbahasa. Apa yang ingin disampaikan ketika mereka menyebut ‘rasionalisasi subsidi’, ‘politik wang’ dan paling klasik, ‘anasir luar yang mengancam negara’?

Apa yang dapat dikatakan mengenai Ahmad Zahid Hamidi, dengan cadangannya menubuhkan ‘polis syariah’ dan ‘tentera media UMNO’ – kecenderungan kuku besi?

Seperti biasa pada setiap petang, saya melepak di dalam kereta di tengah-tengah Jalan Tun Razak. Sebagai ‘anak muda’, saya mengerti tanggungjawab saya untuk menangkap sebanyak mungkin maklumat dan masa sesungguhnya terlalu singkat. Jadi, saya selalunya memilih saluran radio ‘Brake faster macha!’ sebagai teman lepak.

Rancangan bual bicara, yang dicelah-celahnya diselitkan lagu yang tidak disiar saluran lain. Untung-untung, mereka akan pasang ‘Perfect day’ dendangan Lou Reed sebagai tanda solidariti kepada kami yang lepak di sini (entah kenapa, dengar di radio lain feel-nya berbanding melalui CD).

Bual bicara diteruskan, penyampai, panel dan pemanggil bergilir-gilir berkongsi idea masing-masing. Kata-kata mengalir deras daripada hulu suara, dengan penuh keyakinan. Tiba-tiba, ada sesuatu yang mengganggu hinggap di telinga; gaya sebutan yang aneh beberapa perkataan yang sebenarnya mudah.

Antaranya, Selangor jadi ‘Se-le-ngor’ dan Klang Valley jadi ‘Kleng Valley’.

Ini penyakit lama yang tak pernah kebah. Walaupun bukan pertama kali mendengarnya, sistem pendengaran saya gagal menghasilkan imun untuk menerimanya. Ramai yang menghidap penyakit ini, dan yang paling menjolok mata bagi saya adalah mereka yang dipandang tinggi masyarakat; ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, ahli akademik dan sebagainya.

Mereka, saya yakin, tidak termasuk dalam golongan yang membaca dua buku setahun. Jadi, mustahil untuk tidak tahu gaya sebutannya yang sebenar. Mereka hanya menyebutnya dengan pelat sebegitu jika berbicara dalam bahasa Inggeris, dan dapat menyebutnya dengan betul ketika menggunakan bahasa Melayu (walaupun amat jarang, saya akui).

Malah, gejala yang sama tidak terjadi kepada perkataan dalam bahasa lain. Istilah seperti faux pas, laissez faire dan persona non grata, serta nama seperti Descartes, Camus dan Feuerbach disebut mengikut fonetik bahasanya masing-masing. Tiada siapa yang menyebut nama kelab bola sepak Belanda, Ajax Amsterdam dengan ‘A-jeks Amsterdam’.

Saya masih ingat ketika di kelas sejarah sekolah menengah, betapa berbelitnya lidah kami – murid dan guru, ketika ingin menyebut nama general Portugis, Afonso de Albuquerque dengan betul.

Jadi aku tidak faham apa masalahnya, atau apa ia dianggap sebagai satu masalah.

Istilah yang berasal dan wujud hanya dalam bahasa tertentu, perlu disebut dengan cara bahasa itu sendiri. Itu tandanya menghormati bahasa. Menghormati bahasa bermakna menghormati budaya yang menjadi akar kepada bahasa itu. Lebih penting, ia juga tanda seseorang menghormati akal budinya sendiri.

Mereka yang bijak pandai ini semestinya mengerti akan hal ini. Tetapi ia tidak berlaku kepada ‘Selangor’, ‘Klang’ dan beberapa lagi istilah lain dalam bahasa Melayu.

Lagu ‘Perfect Day’ tidak kunjung tiba. Semua seakan masih belum selesai melaungkan pandangan masing-masing. Udara yang penuh asap karbon monoksida di luar membatalkan hasrat untuk buka tingkap dan hisap rokok. Saya ambil keputusan untuk tukar ke saluran lagu-lagu pop. Lagu bertemakan ‘mari berdansa di kelab’ atau ‘cinta tak terbalas’ yang dikilangkan untuk pendengar massa. Lagu-lagu ini biasanya dipasarkan seadanya, – hiburan kosong berdurasi tiga minit, tanpa sebarang percubaan untuk jadi deep. Sekurang-kurangnya tidak berpura-pura.

(Bercakap tentang deep, saya teringat lawak antarabangsa yang dibuat seorang penyampai, atau mungkin panel, di radio yang sama. Menurut analisisnya, kegilaan remaja Asia terhadap K-Pop adalah disebabkan kecenderungan luar sedar orang Asia kepada sistem autoritarian, di mana perbezaan tidak diraikan dan rakyat hidup seragam (nilai Asia, mungkin). Dia mendapat ilham itu selepas menonton video K-Pop di Youtube – dengan audio yang ditutup, tekannya dengan nada sinis – menunjukkan beberapa orang yang menari dengan koreografi yang sempurna dengan pakaian yang sama.

Dengan menonton video yang sama, kebanyakan non-supra-manusia, seperti saya sendiri, akan dapat jawapannya paling lambat selepas habis korus pertama; wajah menarik, tubuh badan menggiurkan dan melodi yang…Oh, maaf terlupa, dia menutup audio ketika buat analisis).

Bayangkan anda berada di dalam sebuah forum bertajuk ‘Postmodern Malaysia: The Way Forward’ di Kuala Lumpur. Ketika sesi soal jawab, dengan penuh yakin anda bangun dan berikan pendapat tentang kontrak sosial; ”Menurut Jin Jaks Rossiu…”. Sebelum sempat habiskan ayat pertama, anda sedar bahawa nilai hujah itu sudah hilang separuh.

Lagi sengau bunyi vokal, lagi tinggi nilai hujahnya. Semakin pelat sebutan bahasa Melayu, semakin cerdik seseorang akan dipandang.

Benda yang sepele untuk orang lain, hal yang cukup mengganggu bagi saya.

Saya tidak fikir minda yang terjajah adalah puncanya. Alasan itu terlalu murah, dan mereka terlalu bijak untuk itu. Bagi saya, ada satu kehodohan yang tersembunyi – pada lapis pertama, dwi-standard terhadap bahasa; dan di baliknya adalah dwi-standard terhadap budaya, persekitaran dan konteks di mana bahasa itu bernafas.

Bagaimana ingin memahami dan merumuskan latar dan ranjau sebuah projek bernama ‘Malaysia’, jika ia dilihat sebegitu – melalui monocle berhabuk?

Maka tidak pelik jika ada yang mengaitkan perobohan Candi Lembah Bujang baru-baru ini sebagai pengkhianatan terhadap masyarakat India, semata-mata kerana ia adalah sebuah kompleks kuil. Jangan salahkan sistem pendidikan Malaysia yang cuba memadamkan sejarah Melayu-Hindu, anda jauh lebih bagus daripada itu.

Jika begitu, projek ‘Malaysia’ ini, dengan segala kontradiksi nilai dan idea-nya, akan sentiasa disalah baca. Menggeraknya ke hadapan hanyalah angan-angan Mat Jenin.

Kata-kata T Alias Taib dalam sajaknya bertajuk ‘Forum’;

‘di akhir forum itu

ku bawa pulang

semak waktu

dan sampah hujah

kertas tebal

dan isi tipis’

-Roketkini.com