Berita

Hak pemilik restoran larang individu pakai baju MCA masuk

KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap tindakan pemilik restoran Red Yeast, Ngiam Chee Jieh sebagai perkara normal dan sebahagian daripada proses demokrasi.

Beliau berkata, pemilik restoran Red Yeast berhak meneruskan larangan terhadap individu berpakaian MCA masuk ke kedainya di Bukit Sri Bintang, Kepong.

“Tidak ramai orang yang mempunyai keberanian begini atau mempunyai rasa keadilan dalam diri, malangnya masih ramai tidak memiliki kedua-duanya,” katanya ketika hadir minum petang di restoran itu petang semalam.

Larangan itu ditampal di pintu masuk restoran berkenaan mulai 6 Disember lalu sebagai tanda bantahan terhadap kenyataan Setiausaha Agung MCA, Kong Cho Ha baru-ini ini yang menggesa warga Cina menghentikan sikap konfrontasi, menyedari status mereka dan bekerjasama dengan bangsa lain.

Notis larangan itu tertera ayat ‘Sesiapa yang memakai pakaian seragam MCA tidak dibenarkan masuk. Orang Cina tidak pernah berkonfrontasi tetapi mahu hidup bahagia. Ini adalah suara rakyat’.

Menurut Chee Jieh, walaupun berdepan pelbagai kritikan masyarakat dan pimpinan MCA di media sosial, beliau tidak akan menghentikannya sebagai tanda kebebasannya untuk bersuara.

“Jika mereka datang juga ke restoran ini, saya akan beritahu mereka dengan sopan, kami tidak akan melayani anda dan hak ini tetap saya pertahankan.

“Saya bukan mahu mencari publisiti atau mengamalkan diskriminasi, orang Cina tidak pernah melancarkan konfrontasi tapi hanya mahu hidup bahagia. Tuduhan MCA itu tidak berasas dan mereka perlu memohon maaf,” tegasnya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke. -Roketkini.com