Rencana

CABAI BURUNG – ROS kacau DAP, UMNO pujuk PAS, isteri takut Mat Sabu…

cabai-burungA1“Macam orang gila…” itu kata Dinsman ketika beliau bersajak dalam satu majlis tidak lama dulu. Tapi, apa yang berlaku ke atas DAP sekarang ini bukan sekadar “macam orang gila” tapi dah betul-betul gila; bagi betis nak peha. Gamaknyalah..!

Itu peribahasa Melayu paling sesuai buat Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang baru-baru ini buat kacau lagi bila mereka kata CEC DAP yang terpilih pada pemilihan semula, September lalu belum diiktiraf dan mereka tidak segan menasihatkan CEC supaya tidak buat apa-apa keputusan sehingga siasatan selesai.

Apa yang lebih menggilakan, ROS juga tergamak meminta dokumen tambahan daripada DAP untuk meneruskan siasatan mereka. Tak cukup-cukup minta dokumen.

Kita dapat lihat, tindakan ROS kali ini bukan tindakan suka-suka tetapi tindakan terdesak tangan politik, siapa lagi kalau bukan hasil hati busuk UMNO/BN yang mahu mengganggu gugat pengaruh DAP yang makin meluas sehingga dapat diterima masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kacau DAP, pancing PAS, tengok akal PKR?

Ada beberapa teori yang boleh kita simpulkan mengapa ROS masih terhegeh-hegeh mahu ‘membersihkan’ DAP setelah usaha mereka memporak-perandakan parti berasaskan ideologi sosial demokrasi (bukannya komunis) itu telah gagal.

Agenda utama ROS sebagai entiti yang dilihat banyak orang ibarat dicucuk hidung seperti kerbau UMNO tidak lain niat mereka semata-mata tulus ikhlas melemahkan Pakatan Rakyat (PR) dan kalau boleh, mereka mahu melenyapkan PR di bumi Malaysia.

Kita lihat dulu bagaimana kemenangan Haji Mohamed Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar Agung PAS baru-baru ini memberikan flying kick percuma kepada mereka.

Kemenangan Mat Sabu itu bermakna hubungan setia kawan PAS bersama DAP dan PKR terus kebal daripada gangguan ‘jin-jin’ UMNO kerana Abang Mat adalah seorang berpengaruh luar dan dalam, atas dan bawah.

Kali ini, dikait pula Mat Sabu dengan ajaran Syiah. Lantas, seluruh Malaysia sekali lagi berpolemik dengn Syiah dan nikah mut’ah mereka sehingga merisaukan para isteri Muslim di Malaysia.

Tidak sekadar itu, putik bunga hudud pula mula berhamburan di bibir manis pemimpin UMNO. Konon mahu laksana hudud di Malaysia. Kalau dulu hudud dimaki UMNO, tetapi kali ini mereka memancing PAS dengan hukum yang pernah mereka makikan itu.

Pada masa sama mereka mahu melihat DAP yang kuat dengan pegangan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengamuk. Tapi, DAP tidak mengamuk, DAP bijak, DAP terus steady berpegang pada realiti politik Malaysia.

Kalau dipihak PAS, mereka mensasarkan pemimpin tertentu, di pihak DAP pula, mereka mensasarkan kepada kendali utama parti. Bahagian teratas, bahagian kepala, yang menjadi software utama modus operandi DAP membersihkan Malaysia daripada sampah rasuah, monopoli dan ekstrimisme perkauman.

Kita sudah lihat apa mereka lakukan ke atas DAP dan PAS. Justeru, eloklah kita tunggu, apa pula perangkap besar yang mahu dipasang kepada PKR setelah sebelum ini berbuih mulut parti itu difitnah dengan bermacam hal.

Ramai orang tanya apa lagi UMNO mahu, ramai orang bising apa lagi ROS mahu. Ini soalan bodoh. Kita sudah sedia maklum, mereka tidak mahu sesen pun. Mereka hanya mahu hancurkan PR. Demi bangsa, agama dan negara katanya. Hidup rasuah!-Roketkini.com