Berita

Muhyiddin Menteri Pendidikan paling teruk, tidak bertanggungjawab mengenai PISA, TIMSS – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 17 DISEMBER: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih Kementerian Pelajaran lebih empat tahun lalu iaitu pada 2009 mungkin akan dikenal sebagai Menteri Pendidikan paling buruk dan paling tidak bertanggungjawab pernah dimiliki negara ini dalam sejarah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia tertanya-tanya Menteri Pendidikan jenis apa yang mereka miliki apabila Muhyiddin sama sekali tidak peduli dan tidak berminat mengenai keadaan pendidikan negara ini seperti yang dapat dilihat sejak dua minggu lalu menerusi keputusan PISA 2012 dan laporan buruk Bank Dunia tentang “High-Performing Education”.

Katanya, sehingga kini, Muhyiddin belum memberi walau sepatah ulasan mengenai keputusan PISA 2012 sejak diumumkan pada 3 Disember lalu atau mengenai laporan Malaysia Economic Monitor yang diterbitkan Bank Dunia dengan tema “High-Performing Education” pada 10 Disember lalu.

“Menteri Pendiidikan yang bertanggungjawab pasti akan tampil di Parlimen pada 4 atau 5 Disember lalu (ketika Dewan Rakyat masih bersidang) memandangkan Kementerian Pendidikan seharusnya mempunyai maklumat mendalam tentang keputusan PISA 2012) dan memberi kenyataan mengenai pencapaian Malaysia dalam PISA 2012.

“Bukan saja mengenai hubungannya dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, malah mengenai mengapa Pasukan Khas TIMSS dan PISA Kementerian Pelajaran yang dibentuk untuk memperbaiki pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012 gagal teruk,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, negara sudah mempunyai 15 menteri pendidikan dalam tempoh 58 tahun sejak 1955 dan Perdana Menteri kedua hingga Perdana Menteri keenam semuanya pernah memimpin kementerian yang penting ini, bermula dengan Tun Razak (1955-57), Tun Hussein Onn (1970-73), Tun Dr Mahathir Mohamad (1974-78), Tun Abdullah Ahmad Badawi (1984-86) dan Datuk Seri Najib Razak (1995-99).

Antara bekas Menteri Pendidikan yang lain termasuk Tan Sri Mohamed Khir Johari (1957-59, 1965-69), Tun Abdul Rahman Ya’kub (1969-70), Tun Musa Hitam (1978-81), Datuk Seri Anwar Ibrahim (1986-91) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (2004-2009).

“Ketika saya mengusulkan agar potongan gaji sebanyak RM10 dibuat ke atas Hishamuddin sebagai Menteri Pendidikan di Parlimen pada 27 November 2006, saya mengemukakan tiga alasan bagi usul tidak percaya terhadap beliau.

“Ada lebih daripada sepuluh alasan untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan, sebuah kementerian yang paling penting dalam kerajaan kerana ia memberi kesan terhadap masa depan negara kita dan generasi baru rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kelmarin, dalam satu forum merayakan ulang tahun ketiga Program Transformasi Ekonomi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamad turut menyatakan bahawa sistem pendidikan negara memerlukan “baik pulih segera” untuk menghasilkan tenaga kerja mahir yang amat diperlukan negara untuk menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan lestari.

Menurutnya, mungkin sudah telah masa untuk perbincangan diadakan di seluruh negara sama ada Muhyiddin sepatutnya meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan jika Malaysia benar-benar serius hendak menjadi negara ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif.

“Pihak berkenaan perlu menyatakan sebab mengapa negara ini amat memerlukan seorang Menteri Pendidikan yang lebih komited, berdedikasi dan berwawasan yang mampu mencegah kemerosotan tahap pendidikan Malaysia yang berlaku sejak dekad yang lalu di semua peringkat persekolahan rendah dan menengah sampai ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya mengubah Malaysia daripada sebuah negara yang serba sederhana pencapaiannya dalam bidang pendidikan menjadi sebuah negara pencapaian cemerlang.

“Saya terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang menyebut walaupun Malaysia ingin menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia hanya akan membuahkan hasil dalam masa 20 tahun,” katanya.

Kit Siang berkata, nampaknya RM20 juta yang dibelanjakan untuk membayar McKinsey & Co untuk menyediakan pelan berkenaan menyebabkan rakyat Malaysia ditipu, kerana selama ini kita diberitahu bahawa pelan transformasi pendidikan dalam tempoh 13 tahun itu akan memberi natijah penuh menjelang 2025.

Katanya, nampaknya Idris Jala bersetuju dengan kritikan beliau terhadap pelan terbabit sebagai “Pelan Pembangunan Ajaib” kerana menetapkan matlamat yang tidak praktikal, tidak realistik atau mampu dicapai menerusi tiga Gelombang transformasi dalam tempoh 13 tahun daripada 2013 hingga 2025:

Gelombang 1 (2013-15) untuk memperbaiki sistem dengan menyokong guru dan memberi tumpuan terhadap kemahiran teras, Gelombang 2 (2016-20) untuk memacu penambahbaikan sistem dan Gelombang 3 (2021-25) untuk bergerak ke arah kecemerlangan dalam keadaan keupayaan operasi yang semakin anjal.-Roketkini.com