Berita

PR tubuh ‘task force’, mulakan gerakan tawan Sarawak

KUALA LUMPUR, 17 DISEMBER: Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan pasukan ‘Task Force’ dalam usaha untuk menawan Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Bumi Kenyalang yang dijangka diadakan pada 2016.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, keputusan menubuhkan pasukan Task Force itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, dua minggu lalu.

“Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dua minggu lalu kami bersetuju menubuhkan satu pasukan ‘Task Force’ untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“PAS sendiri juga sudah bermesyuarat minggu lalu dan satu daripada fokus utama kami adalah mengenai pilihan raya negeri itu.

“Pasukan ‘Task Force’ itu terdiri daripada pimpinan ketiga-tiga parti dalam PR iaitu PAS, DAP dan PKR akan memulakan langkah awal menyusun dan mengenal pasti strategi untuk menembusi serta memenangi kubu kuat UMNO/BN itu,” katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Menurut Salahuddin, langkah awal perlu dilakukan agar PR dapat mengukuhkan kedudukan serta mengelak daripada pertembungan kerusi antara parti dalam PR.

Beliau menambah, pada saat UMNO/BN berusaha dengan pelbagai cara untuk memecahkan kerjasama terjalin, PR sudah memulakan langkah awal yang lebih penting iaitu agenda perubahan negeri Sarawak daripada memperbesarkan perkara yang tidak masuk akal.

“Antara tugasan ‘task force’ ini bukan saja mengenal dan merangka strategi tapi membincangkan perihal pengagihan kerusi.

“Pengagihan ini penting kerana kita tidak mahu ada sebarang percanggahan wujud dan yang paling penting kekal dengan agenda utama PR iaitu menumbangkan kerajaan zalim UMNO/BN.

“Anggota Jawatankuasa ‘task force’ ini akan diumumkan oleh kepimpinan ketiga-tiga parti itu nanti,” ujarnya. -Roketkini.com