Berita

Skim Rumah Pertamaku gagal manfaatkan kumpulan sasar

KUALA LUMPUR, 17 DISEMBER: DAP yakin Skim Rumah Pertamaku yang dilaksanakan kerajaan gagal memberi manfaat kepada kumpulan pendapatan rendah dan sederhana.

Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, ini kerana tindakan kerajaan itu tidak sejajar dengan aspirasi meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat.

Katanya, berdasarkan jawapan bertulis Parlimen daripada Menteri Kewangan, sejak pelaksanaan skim itu Mac 2011 sehingga Julai 2013 hanya 524 permohonan diluluskan.

Katanya, ini bermakna hanya 18 orang golongan muda berjaya merealisasikan impian memiliki rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku setiap bulan dan 694 permohonan lain ditolak.

“Sehingga Julai 2013, jumlah pinjaman yang diluluskan di bawah skim itu hanya RM86.4 juta, purata RM164,000 setiap permohonan.

“Ini menunjukkan walaupun golongan muda berhak mendapatkan pinjaman 100 peratus untuk membeli rumah berharga tidak lebih daripada RM400,000 tapi harga siling yang ditetapkan kerajaan sama sekali tidak realistik dan tidak praktikal,” katanya dalam kenyataan.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu turut menyatakan berdasarkan laporan Bank Dunia minggu lalu, isi rumah Malaysia berada dalam keadaan sukar tahun depan disebabkan harga barangan pengguna yang dijangka meningkat berpunca daripada pengurangan subsidi bahan api.

Tambahnya, kajian Pendapatan Isi Rumah 2012 juga menunjukkan prata pendapatan bulanan isi rumah untuk 20 peratus golongan pertengahan dan 40 peratus golongan terbawah adalah hanya RM12,000, RM4,000 dan RM1,000.

“80 peratus daripada isi rumah ini secara purata hanya mendapat RM3,210 sebulan.

“Ini jelas memperlihatkan Skim Rumah Pertamaku pasti gagal untuk memberi faedah kepada kumpulan pendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya. -Roketkini.com