Berita

Harga barang naik: Kerajaan BN lupa janji manifesto PRU-13

18 DISEMBER, SEREMBAN: Pengumuman pelbagai kenaikan harga oleh kerajaan membuktikan mereka lupa pada janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk menangani kos sara hidup rakyat.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong berkata, manifesto BN menawarkan pelbagai janji manis yang populis semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi.

“Perkara pertama disebut dalam manifesto itu adalah ‘Menangani Kos Sara Hidup’.

“Tetapi tak sampai tujuh bulan, harga minyak, gula, elektrik dan sebagainya dinaikkan. Paling teruk, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksana April 2015,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, pengumuman kenaikan tol di beberapa lebuhraya pada tahun depan juga bertentangan dengan manifesto itu.

“Ia memang bertentangan dengan janji yang dimaktub dalam manifesto BN. Kemungkinan besar beliau sendiri sudah lupa segala janji BN dalam manifesto itu,” katanya kesal.

Dalam manifesto yang bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan itu’, BN berjanji mengurangkan kadar tol antara bandar secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Menurut Bernama, Perdana Menteri semalam berkata, kerajaan tidak menggunakan pendekatan populis dalam mentadbir negara.

Kerajaan perlu menambahkan pendapatan negara sebelum memutuskan untuk memberi ‘janji-janji manis’ kepada rakyat, kata Najib lagi seperti dipetik.

Kata Ahli Parlimen DAP Rasah itu lagi, ia bertentangan dengan pendekatan populis yang digunakan ketika kempen PRU lalu.

“Jika BN umumkan mereka akan benarkan kenaikan harga barangan dan laksanakan GST ketika kempen PRU lalu, saya yakin mereka sudah jadi pembangkang,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kerajaan BN agar mengotakan janji yang sudah dibuat, bukan cuba mengalihkan tumpuan rakyat dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

“Rakyat yang matang dan bijaksana akan menolak kerajaan yang mungkir janji pada PRU akan datang,” katanya lagi.-Roketkini.com