Berita

Kenyataan bercanggah bukti kawalan keselamatan lemah di perairan Sabah

KOTA KINABALU, 18 DISEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Likas, Junz Wong hari ini mengecam kenyataan bercanggah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan pasukan keselamatan negara berhubung pencerobohan militan di perairan negeri di bawah bayu itu.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar, pada 16 Disember lalu mendakwa pasukan keselamatan bersedia menghadapi ancaman serangan militan berikutan mendapat maklumat kemasukan semula mereka.

Namun, keesokkannya, Ketua Pengarah Bahagian Risikan ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek menolak laporan itu dan menegaskan setakat ini tiada cubaan anggota militan menceroboh masuk.

“Apa yang menjadi persoalan, mengapa ESSCOM dan pasukan keselamatan negara tidak boleh mengeluarkan kata sepakat dengan membuat kenyataan bersama? Mengapa ia boleh bercanggah?.

“Ini membuatkan mereka kelihatan begitu bebal. Ia juga menunjukkan betapa pengurusan dan penyelarasan tidak pernah teratur dalam apa jua perkara berkaitan keselamatan yang membabitkan kecemasan penting.

“Mereka sepatutnya melakukan persedian bersama menangani kejadian bukannya menghebohkan isu ini untuk dijadikan berita utama seolah-olah ia sesuatu yang begitu membanggakan,” katanya dipetik daripada laman sosial Facebook milik beliau.

Tegasnya, percanggahan itu turut memalit imej negatif kepada Sabah kerana ia menimbulkan kebimbangan kepada rakyat negeri dan menjejaskan industri pelancongan.

“Mereka seharusnya duduk bersama dan melakukan sebarang perkara secara konsisten dengan konsensus untuk mencapai kepentingan terbaik bagi industri pelancongan Sabah,” ujarnya. -Roketkini.com