Berita

Cukai taksiran: Ku Nan tuduh rakyat keliru, tak faham

KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor tidak seharusnya menghina warga Kuala Lumpur dengan menuduh mereka tidak faham isu kenaikan cukai taksiran.

Timbalan Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sem berkata, rakyat memahami beban yang bakal ditanggung berikutan kenaikan itu dan tidak dikelirukan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau merujuk kenyataan Adnan semalam, yang mendakwa bantahan rakyat berhubung isu itu kerana dikelirukan PR.

“Hanya kerana isteri beliau, yang menurut laporan, salah faham dengan cukai itu dan sangka dia perlu bayar untuk hartanahnya, ini tidak bermakna kebanyakan pembayar cukai turut salah faham,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, Teresa Kok menyifatkan Tengku Adnan sendiri yang keliru dengan isu itu dan tidak faham bahawa rakyat membantah kenaikan kerana dua sebab.

“Pertama, kenaikan tinggi pada nilai tahunan baru akan membawa kepada kenaikan kepada cukai taksiran mereka, jika peratusan yang dikenakan kini kekal.

“Bantahan tetap boleh dibuat jika ada asas bahawa hartanah dinilaikan dengan berlebihan, walaupun ada perubahan pada kadar peratusan cukai,” katanya lagi.

Juteru, beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh menggesa Tengku Adnan agar tidak sesekali menganggap rakyat terkeliru dan menerima kenaikan cukai taksiran yang tidak munasabah.

16 Disember lalu, seramai 700 warga Kuala Lumpur berhimpun di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menghantar sejumlah 80,000 surat bantahan kepada DBKL.

Sementara itu, Teresa juga mengingatkan Tengku Adnan agar menunaikan janjinya tidak membebankan rakyat dengan kenaikan itu.

“Sebagai menteri yang diberi kuasa, beliau perlu tunaikan janji kementeriannya yang diulang berulang kali untuk tidak membebankan rakyat dengan kenaikan cukai taksiran yang tidak munasabah itu,” katanya lagi.

Pada 27 November lalu, Timbalan Menteri, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, kenaikan cukai itu ditangguhkan untuk memberi laluan kepada bantahan didengar dalam tempoh Januari – Mac 2014.

Keesokannya, Tengku Adnan kembali menegaskan ia tidak akan ditangguh dan akan berkuatkuasa 1 Januari ini.

Namun, beliau pada satu sidang media pada 13 Disember lalu dilaporkan berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung isu itu. -Roketkini.com