Berita

Tuduhan terhadap Mat Sabu, KDN belakangi undang-undang

KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menuduh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tanpa bukti kukuh nyata mengundang pelbagai reaksi negatif daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan masyarakat umum.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud mempertikaikan kewajaran tindakan itu yang antara lain memaksa Mohamad Sabu mengemukakan bukti bahawa beliau tidak terbabit dalam gerakan Syiah.

Beliau berkata, permohonan bukti ke atas Mohamad Sabu bukan saja menjadi bahan lawak jenaka malah memperlihatkan kepada rakyat bahawa kerajaan sememangnya bertindak dengan membelakangkan undang-undang.

Menurutnya, pemaksaan bukti itu jelas bercanggah dengan kedaulatan undang-undang di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Sejak bilakah negara ini mengguna pakai doktrin bahawa seseorang itu dianggap bersalah sebelum dibuktikan bersalah?

“Apa sudah jadi dengan kedaulatan undang-undang? Kedaulatan undang-undang adalah rangka kerja yang mendasari hak serta peraturan yang menjadikan masyarakat lebih adil dan saksama.

“Kedaulatan undang-undang memerlukan kerajaan untuk melaksanakan kuasanya mengikut undang-undang yang ditulis dengan jelas tetapi apabila seorang pegawai kerajaan bertindak tanpa imprimatur, ia jelas merupakan tindakan kekerasan berdasarkan kehendak peribadi dan kuasa semata,” katanya dalam kenyataan.

Graduan undang-undang UiTM itu turut mempersoal agenda tersembunyi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehingga sanggup menuduh Mohamad Sabu mengamalkan ajaran syiah.

“Apakah ia untuk mencabar kredibiliti PAS di mata orang Islam dan pimpinan Pakatan Rakyat? Atau sebahagian besarnya untuk mengalih perhatian negara daripada kos sara hidup yang meningkat tanpa kawalan di bawah pemerintahan BN?

“Jika benar mahu menganiaya Mohamad Sabu sekalipun dengan kesalahan tidak berbukti, sekurang-kurangnya gunalah prosedur yang betul kerana negara ini mempunyai undang-undang dan bukannya mengambil jalan melalui gimik murahan yang mengabaikan hak asasi seseorang.

Beliau turut menggesa Ahmad Zahid agar menggugurkan isu ini yang jelas cuba diperbesarkan untuk mengalih perhatian rakyat daripada masalah sebenar, jika tidak ia tentunya menjadikan Malaysia berterusan menjadi bahan lawak.-Roketkini.com