Rencana

UiTM, oh UiTM – Alang Shaari

KETIKA Ibrahim Abu Shah menjadi Naib Canselor UiTM, pelbagai jenis penindasan dilakukan beliau terhadap pelajar dan pensyarah yang tidak bersekongkol dengan UMNO. Beberapa pensyarah dikhabarkan telah dipindahkan ke beberapa kampus cawangan.

Dalam satu kes, kedua-dua Persatuan Kakitangan Akademik UiTM dan Biro Pengaduan Awam ternyata kaku dan tidak membantu sehinggakan pensyarah yang dizalimi dengan pembuangan beliau ke Sarawak, terpaksa meminta bantuan Jawatankuasa Khas Integriti Parlimen.

Perihal Ibrahim Abu Shah ini juga dibawa ke Parlimen, namun disebabkan Dewan Rakyat dikuasai UMNO, ia langsung tidak dipedulikan. Mengikut Hansard Dewan Rakyat bertarikh 17 Jun 2002, Ahli Parlimen Kuala Trengganu ini mengingatkan Dewan Rakyat bahawa UMNO seolah-olah cuba menukarkan universiti tempatan menjadi unit cawangan UMNO. Berikut adalah sedutan daripada ucapan beliau di muka surat 73 Hansard tersebut:

“Adakah kita mahu hanya pengampu-pengampu di pusat atau di universiti awam? Dan adakah kita sedang cuba mewujudkan masyarakat academia yang pasif, masyarakat academia yang hanya menjadi pak turut seperti apa yang sedang berlaku kepada Menteri Pendidikan sekarang? Nyata UMNO cuba memperalatkan IPTA untuk kepentingan politik sempit mereka!

Tuan Yang di-Pertua, sesetengah pelajar bukan sahaja ke bilik kuliah sekarang ini berbekalkan buku dan nota kuliah, tetapi mereka dibekalkan juga dengan tape recorder bagi memantau pensyarah yang dikatakan menentang kerajaan.

Pensyarah dan pelajar pula dipantau dengan sedemikian rupa dan dikenakan pelbagai tindakan sama ada dalam bentuk ugutan atau tekanan. Malahan beberapa jawatan penting di kampus dipolitikkan secara jijik oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Contoh yang terbaik adalah Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah dan Naib Canselor UUM, Fauzi Basri yang kedua-duanya merupakan hardcore UMNO dan mereka ini menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan politik jijik serta cuba menjadikan kampus sebagai medan UMNO.

UMNO dan sayapnya seperti briged Pemuda dan Puteri UMNO dibenarkan menjalankan aktiviti secara berleluasa dan bebas di pusat pengajian tinggi awam tanpa sebarang sekatan. Malahan Akujanji ini jelas bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Malaysia yang memberi jaminan kebebasan bersuara dan ini memusnahkan kebebasan akademik di negara kita.”

Persoalan mengenai Ibrahim Abu Shah yang menyalahgunakan jawatan beliau sebagai Naib Canselor UiTM langsung tidak dijawab oleh Datuk Mahadzir Khir, selaku Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan yang menjawab usul itu dan seterusnya membuktikan adalah benar penyalahgunaan kuasa berlaku di UiTM.

Maka adalah begitu hairan dan ajaib apabila beliau yang kini tidak lagi menjadi naib canselor merasa khuatir sekiranya di UiTM “mungkin pensyarah berasa tertekan dan motivasi menurun”.

Ini bukan bermaksud naib canselor yang sekarang adalah lebih baik daripada Ibrahim Abu Shah kerana kedua-duanya adalah ejen UMNO. Sahol juga membenarkan UMNO menggunakan UiTM untuk kegiatan politik mereka.

Dapat dilihat dengan jelas apabila Pensyarah UiTM yang dilantik Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu di UiTM dibiarkan memegang jawatan dalam Pemuda UMNO Selayang dan juga bertanding dalam Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, yang jelas bercanggah dengan undang-undang.

Sikap Naib Canselor ini lebih jelas di dalam isu perhimpunan Bersih 2.0. Pada 22 Jun 2011, Sahol menulis amaran ini di dalam facebook beliau berkenaan dengan demonstrasi Bersih 2.0:

“Saya ingin beri nasihat kpd anak2 sekalian. JANGAN TERLIBAT DALAM SEBARANG PERHIMPUNAN. Anasir2 ingin merosakan negara kira. Ini negara kita. Ini Tanah persekutuan Tanah Melayu. Mereka hendakan negara kita hancur supaya Melayu hancur. Jangan cepat pengaruh dgn org manis mulut utk merosak org Melayu. Perhimpunan yg dirancangkan akan membawa hancuran negara Tanah Melayu. JANGAN MELAYU LAWAN MELAYU. Awas anak sekalian.”

Akhbar New Straits Times telah pun memohon maaf kepada Bersih 2.0 pada 15 November 2013 kerana memfitnah Bersih 2.0 sebagai ancaman kepada keamanan negara. Sehingga kini, Naib Canselor UiTM ini masih lagi belum meminta maaf. Beginilah nasib mana-mana institusi pengajian tinggi yang dikuasai oleh juak-juak parti politik.

Selain daripada menzalimi orang lain di universiti yang tidak mengikuti fahaman UMNO mereka, juak-juak politik ini juga kelihatan cuba bertanding sesama sendiri untuk menjadi lebih UMNO daripada yang lain.

Berapa lama lagikah UMNO hendak menggunakan UiTM sebagai alat politik kepartian UMNO? Berhubung dengan isu Ibrahim Abu Shah ini, beliau bukanlah staf UiTM lagi setelah kontrak sebagai Naib Canselor tidak disambung pada Disember 2009. Apa lagi yang Ibrahim Abu Shah mahu?

Tidak perlu berkokok melaungkan kualiti UiTM yang kononnya amat tinggi pada zaman beliau sudah jatuh pada masa kini kerana istilah “World Class University” yang dicanangkan pada zaman beliau menjadi bahan gurauan dan sindiran ramai. Mungkin beliau tidak menyedari bahawa ramai lebih memandang kepada kewibawaan Datuk Saifuddin Abdullah di dalam isu pendidikan negara ini.

Walaupun Datuk Saifuddin Abdullah tewas dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, setidak-tidaknya beliau masuk bertanding, berbanding dengan Ibrahim Abu Shah yang hanya merupakan lantikan. Mana-mana warga universiti tidak dapat melupakan pendapat dangkal Ibrahim Abu Shah ketika dulu bahawa “Pelajar kita tidak matang dan mudah dicucuk”

Tidak ramai yang menyedari bahawa disebabkan UiTM adalah universiti awam yang terbesar di Malaysia, UiTM juga menjadi satu daripada sumber kontrak dan tender kerajaan yang terbesar kepada golongan yang bergantung kepada tender dan kontrak kerajaan untuk hidup.

Adalah dikhuatiri bahawa juak-juak UMNO yang bersaing sesama sendiri ini cuba untuk membolot kontrak dan tender di UiTM sama ada untuk peribadi, keluarga dan rakan atau sebagai menjaga kepentingan warlord UMNO masing-masing. Dengan pelantikan Ibrahim Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM baru-baru ini, sudah tentu perkara ini menjadi suatu tandatanya lebih-lebih lagi apabila kredibiliti Ibrahim Ali amat dipertikaikan.

Mana mungkin seorang yang tidak mampu berhujah dengan baik dan sekadar memberi jawapan “don’t talk shit, don’t talk shit” sewenang-wenangnya dilantik menjadi ahli lembaga pengarah sebuah universiti. Diharapkan pihak atasan lebih tulus dalam memastikan perkara ini tidak berlaku. Sekiranya UiTM dibiarkan diganggu-gugat oleh juak-juak politik UMNO, yang menjadi mangsanya adalah kaum Bumiputera juga.

Pimpinan negara mungkin tidak peduli kerana anak-anak mereka dihantar belajar ke luar negara. Namun sekiranya terdapat Profesor atau Naib Canselor di universiti luar negara itu yang tidak neutral sebagai ahli akademik, yang ternyata merupakan ejen parti politik pemerintah negara terbabit, apakah universiti itu boleh tergolong di dalam senarai universiti terkemuka dunia?

Dan yang lebih mustahak lagi, apakah pemimpin kita seperti Perdana Menteri dan ahli Kabinet beliau sudi menghantar anak-anak mereka belajar di universiti terbabit? – Roketkini.com