Rencana

Mandela dan Politik Hipokrasi – Aishah

KEMATIAN Nelson Mandela, pejuang anti-apartheid di Afrika Selatan yang pernah satu ketika dulu dalam perang gerila menentang keagungan kulit putih (white supremacy). Penentangan akan beban kulit putih yang juga dikenakan ke atas kita dahulu melahirkan ramai tokoh anti-kolonialis.

Perjuangan anti-kolonialisme ini bukan sahaja perjuangan berbentuk fizikal tetapi juga pemikiran – yang merantai ramai manusia moden kini.

Mandela yang meninggal pada usia 95 tahun adalah seorang revolusioner yang berkhidmat sebagai Presiden Afrika Selatan dari 1994-1999. Mandela dipenjara selama 27 tahun sebelum dibebaskan pada 1990. Dituduh sebagai pengganas komunis di negaranya sendiri dan negara lain, beliau kemudiannya dipilih sebagai presiden untuk meleraikan ketegangan etnik yang berlaku pada masa itu.

Dalam kesempatan yang sama, politik opportunis dan sikap hipokrit muncul dalam media Barat, begitu juga di tempat lain. Di sini jelas terdapat kontradiksi yang besar – Barat yang dilihat sebagai jaguh hak kemanusiaan adalah pihak yang sama memenjara pejuang yang bertentangan kepentingan dengan Barat.

Di Malaysia, terdapat juga sosok yang bermain-main dengan sentimen primordial dan pada masa sama menangisi permergian Nelson Mandela. Golongan yang opportunis ini sarat dengan kepentingan politik dan bukanlah orang yang terpercaya.

Pesanannya hanya dijadikan sebagai modal memperkuat kuasa dan hegemoni parti politik, bukan sebagai landasan perjuangan menjaga kebajikan rakyat.

Tahap kejengkelan melihat ‘ahli’ politik dalam menjuarai isu ini dengan mempergunakan kematiannya sebagai “political mileage” merupakan cara yang paling keji. Publisiti mudah dan murah didapati dengan hanya menempel pada tokoh yang dikenali.

Jelas, kebanyakan ‘ahli’ politik ini hanya bermain di air tohor dan tidak mempraktikannya dalam cara berfikir dan bertindak. Ini tentu sekali membezakan mereka dengan Mandela, seperti apa yang disebut oleh rakannya, Oupa Seane, “Nelson Mandela was really a giant of the struggle. He was a political prisoner who rose to become the president, the father, of the nation. You cannot study leadership without studying the leadership style of Nelson Mandela.

Jika mereka sedia maklum, mengambil semangat Madiba, perjuangan menentang rasisme bukanlah tindakan popular tetapi tindakan keadilan. Rasisme. Bukanlah bererti seseorang itu sudah menjadi jaguh atau pakar apabila boleh melaungkannya sahaja. Mandela membuktikannya dengan kegigihannya sehingga dipenjara. Matlamatnya bukan kuasa tetapi kepercayaan akan keharmonian dan darjat kemanusiaan.

Daripada seorang rakyat miskin, mewarisi semangat mahukan kebebasan untuk rakyatnya, beliau kini ialah tokoh dunia dengan segala kesederhanaan yang ada pada peribadinya.

Perjuangan itu bukan dimulakan oleh ahli politik tetapi warga yang berkesedaran. Sebagai warga yang berkesedaran seharusnya pesanan itu tidak mati di kertas yang ditulis dari kerusi empuk.

Umum mengetahui, tokoh ini sangat terpengaruh dengan idea Karl Marx. Malah beliau pernah dianugerahkan Ijazah kedoktoran oleh Karl Marx Universitiy of the German Democratic Republic yang sudah ditubuhkan lebih 400 tahun. Seperti juga universiti lain, universiti ini menjadi barisan perjuangan untuk keamanan, kebebasan dan keadilan.

Pendidikan sebagai alat pembebasan seperti seharusnya peranan satu-satu universiti – ilmu pengetahuan bukanlah sebagai “ends” tetapi “means” dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada massa. Beliau bukan sahaja belajar dari universiti tetapi juga penjara yang mengajarnya untuk memaafkan orang yang meletakkannya di situ.

Seorang tokoh politik yang punya semangat kepimpinan, kesederhanaan dan kebijaksanaan yang jarang boleh ditemukan dewasa ini. Nelson Mandela membuktikan bahawa dia dipilih untuk memimpin. Untuk itu memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit berbanding kebanyakan ahli politik hanya memikirkan soal keistimewaan (privilege) bukan soal pengorbanan.

Ini bertepatan dengan kata-katanya sendiri dalam Long Walk to Freedom, “A leader…is like a shepherd. He stays behind the flock, letting the most nimble go out ahead, whereupon the others follow, not realizing that all along they are being directed from behind”. Situasi ini tidak berlaku terutamanya di Malaysia, semua ingin berada di depan lensa kamera dan kerja serta tanggungjawab juga turut dilepaskan.

Wajar sekali, Nelson Mandela disebut-sebut atas pengorbanannya membaiki hubungan etnik berbanding ahli politik yang ingin bermegah tentang membaiki longkang – ini bagaimanapun bukanlah ingin merendahkan salah satu kerana keduanya sama penting, melainkan ingin menunjukkan bahawa publisiti yang diraih tidak setimpal dengan tanggungjawab yang dikerjakan.

Diulang, tanggungjawab. Kerana pada akhirnya, kerja yang paling rapat dengan kamera ialah model bersama kosmetiknya, ahli politik kini punya pilihan kedua. -Roketkini.com