Rencana

Pulau Pinang negeri contoh pelopori peraturan perumahan baru – Oleh Lim Guan Eng

NEGERI lain di Malaysia sepatutnya mencontohi Pulau Pinang yang melaksanakan peraturan perumahan baru Pulau Pinang mulai 1 Februari 2014 bagi melindungi negeri Pulau Mutiara itu daripada terjejas akibat gelembung hartanah.

Peraturan perumahan baru yang diumum Ketua Menteri Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika pembentangan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini adalah bagi memastikan perumahan awam dan perumahan mampu milik dibeli oleh pembeli tulen kali pertama yang layak iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ini bermakna kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mahu pembelian rumah di negeri itu dimonopoli golongan berada seperti yang berlaku bagi projek yang dilaksanakan pemaju swasta atau Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) atau perbadanan kemajuan ekonomi negeri di seluruh negara.

Peraturan yang dilaksanakan di negara ini sebelum ini akan menyebabkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana sukar membeli rumah kerana dimonopoli golongan kaya yang membeli rumah bagi meraih keuntungan berganda sehingga menyebabkan harga rumah di bandar utama terutama di Lembah Klang naik mendadak.

Mengikut peraturan baru itu Pulau Pinang akan membina rumah kos rendah yang berharga sehingga RM42,000 dan rumah kos sederhana rendah berharga di antara RM72,500 hingga RM400,000 di kawasan Pulau dan daripada RM72,500 hingga RM250,000 di kawasan Seberang.

Langkah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mapan dan kekal membangun, kerajaan negeri Pulau Pinang lebih berhati-hati untuk mengelak terperangkap dalam mana-mana gelembung hartanah yang akan menjejaskan dan merosakkan ekonomi.

Kerajaan Negeri juga menubuhkan Dana Perumahan Awam dan Mampu Milik berjumlah RM500 juta untuk membina 20,000 unit perumahan awam dan perumahan mampu milik meliputi semua lima daerah di Pulau Pinang.

Ini adalah peruntukan terbesar yang ditubuhkan dalam sejarah Malaysia untuk membina perumahan awam yang mampu milik.

Secara dasarnya, peraturan baru ini dilihat perlu kerana Kerajaan Negeri amat prihatin untuk memberi peluang kepada pembeli pertama membeli rumah selain mengurangkan eksploitasi mengaut keuntungan oleh pihak tertentu.

104 unit di bawah skim milikan bersama dan 51 unit di bawah skim sewa dan beli

Berikutan itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Skim Milikan Bersama atau “Shared Ownership Scheme” (SOS) yang julung kali dilaksanakan di Malaysia – inisiatif bersejarah pembelian bersama antara Kerajaan Negeri dan Pembeli Kurang Berkemampuan yang terlepas daripada mendapatkan 90% atau 100% pinjaman bank dengan menawarkan 30% pinjaman tanpa faedah daripada Kerajaan Negeri manakala baki pinjaman 70% adalah daripada pihak bank berbanding 90% atau 100% pinjaman bank. 104 unit rumah kos rendah di Taman Sungai Duri, Seberang Perai Selatan akan menjadi skim perintis untuk SOS.

Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Skim Sewa dan Beli atau “Rent-Buy Scheme” 51 unit di Flat Taman Seruling Emas, Seberang Perai Selatan untuk golongan yang tidak berkemampuan yang tidak layak memperoleh mana-mana pinjaman bank atau bank yang enggan memberi pinjaman kepada mereka.

Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu mencapai demokrasi perumahan yang membenarkan setiap keluarga yang bekerja memiliki rumah sendiri. Keutamaan adalah bagi memastikan perumahan awam (kos rendah dan kos sederhana rendah) dimiliki mereka yang tidak berkemampuan dan pembeli tulen kali pertama.
Kerajaan Negeri komited untuk membantu pembeli kali pertama agar berpeluang membeli rumah mampu milik dan bersedia untuk menerima sebarang kritikan atau berdepan cabaran undang-undang daripada mereka yang menentang komitmen ini.

EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada mesyuarat semalam sudah memperhalusi peraturan perumahan baru ini demi jelas dan pasti seperti di bawah :

A. Perumahan awam kos rendah dan sederhana rendah

Semua rumah kos rendah (sehingga RM42,000) dan rumah kos sederhana rendah (sehingga RM72,500) yang dibeli tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun daripada tarikh Perjanjian Jual dan Beli.

Mereka yang ingin menjualnya dalam tempoh 10 tahun pertama perlu membuat rayuan kepada Kerajaan Negeri dan hanya boleh dijual kepada pembeli tersenarai atau “listed buyers”. Harga niaga tidak akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri tetapi akan diberikan kepada pembeli berkemampuan, kesediaan pembeli atau “willing buyer, willing seller” oleh kedua-dua pembeli tersenarai dan penjual.

Pembeli yang disenaraikan adalah mereka yang telah berdaftar dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri dan disahkan sebagai golongan berpendapatan rendah yang layak membeli rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah.

Peraturan 10 tahun ini akan meliputi semua belian yang lepas dan akan datang. Cabutan rumah akan tertakluk kepada pegawasan oleh sebuah firma audit – pertama kali dilaksanakan oleh mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia.

B. Perumahan mampu milik

Perumahan Mampu Milik diklasifikasikan sebagai rumah yang pada mulanya dibeli dengan harga di bawah RM400,000 di dalam Pulau dan RM250,000 di Seberang Perai. Perumahan mampu milik yang dibeli juga tidak boleh dijual dalam tempoh 5 tahun daripada tarikh Perjanjian Jual dan Beli. Mereka yang ingin menjual dalam tempoh 5 tahun pertama perlu membuat rayuan kepada Kerajaan Negeri dan hanya akan dijual kepada “pembeli tersenarai”.

Harga rumah tidak akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri tetapi akan diberikan kepada “willing buyer, willing seller” oleh kedua-dua pembeli tersenerai dan penjual. Pembeli yang tersenarai adalah mereka yang berdaftar dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri dan disahkan sebagai kumpulan berpendapatan pertengahan yang berkelayakan untuk membeli perumahan mampu milik.

Peraturan 5 tahun ini meliputi rumah yang diniagakan pada atau selepas 1 Februari 2014. Dengan erti kata lain, ia tidak akan dibelakangkirakan (retrospektif) tetapi akan hanya ke atas Perjanjian Jual dan Beli yang ditandatangani pada atau selepas 1 Februari 2014.

C. Pembelian oleh bukan warganegara

Bukan warganegara hanya boleh membeli hartanah di Pulau Pinang yang melebihi RM1 juta dan bagi tanah dan bangunan di Pulau mesti melebihi RM2 juta. Semua pembelian hartanah oleh bukan pemastautin akan dikenakan yuran kebenaran 3% atas harga transaksi untuk Perjanjian Jual dan Beli yang telah ditandatangai pada atau selepas 1 Februari 2014. Pengecualian diberikan kepada pembelian bagi tujuan industri atau tujuan untuk menggalakkan peluang pekerjaan, pendidikan, bakat manusia atau mempromosikan Pulau Pinang sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa dan pintar.

D. Yuran kebenaran 2% untuk hartanah yang dibeli selepas 1.2.2014 dijual dalam tempoh 3 tahun pertama

Yuran kebenaran 2% akan dikenakan ke atas penjual untuk semua hartanah yang dijual dalam tempoh 3 tahun daripada tarikh Perjanjian Jual dan Beli (SPA) yang ditandatangani pada 1 Februari 2014. Dalam erti kata lain, ini tidak retrospektif. Hartanah yang dibeli di mana SPA ditandatagani sebelum 1 Februari 2014 tidak akan dikenakan yuran kebenaran ini. Hanya hartanah yang dibeli dengan SPA pada atau selepas 1 Februari 2014 akan dikenakan yuran kebenaran 2% jika dijual dalam tempoh 3 tahun. Yuran kebenaran 2% ini tidak terpakai untuk perumahan mampu milik.

Perbincangan yang berterusan dengan Majlis Peguam, bank, pemaju hartanah di dalam dan di luar Pulau Pinang bersama-sama dengan persatuan lain akan terus diadakan bagi memberi penerangan berhubung peraturan perumahan baru yang berkuatkuasa sebaik SPA ditandatangani pada atau selepas 1 Februari 2014, kecuali untuk perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah.-Roketkini.com

Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Bagan