Berita

KDN perlu jelas mengapa MyDistress perlu diganti aplikasi mahal

KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjelaskan tindakannya menukar penggunaan aplikasi isyarat jenayah telefon pintar, MyDistress yang terbukti berkesan dengan aplikasi baru, SaveME 999.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, aplikasi MyDistress yang sudah dimuat turun sebanyak 201,146 kali sejak dilancarkan pada Ogos 2011.

“Namun, Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah pada 25 November lalu mengumumkan aplikasi kepada penduduk Selangor itu akan diganti dengan SaveME 999 bagi kegunaan seluruh negara.

“Jadi, sangat penting untuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kepada rakyat, mengapa MyDistress, aplikasi yang memenangi anugerah diganti dengan satu sistem yang belum terbukti,” katanya dalam satu kenyataan.

MyDistress dilancarkan pada 24 Ogos 2011 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor bagi membolehkan rakyat negeri itu menghantar isyarat kepada polis ketika kecemasan.

Ahli Parlimen DAP Kulai itu turut mempertikaikan langkah itu, kerana MyDistress dibangunkan syarikat tempatan secara percuma, manakala SaveME 999 dibangunkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kos hampir RM1 bilion.

“Menurut jawapan Parlimen, MyDistress dibangunkan syarikat tempatan tanpa sebarang bayaran, sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Manakala, SaveME999 dibangunkan melalui sistem maklum balas kecemasan negara (MERS 999) yang dibangunkan Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kos RM801.55 juta,” katanya lagi.

Memetik Laporan Ketua Audit Negara 2012, beliau berkata, TM juga dibayar lebih daripada kos sebenar untuk membangunkan MERS 999.

Menurut laporan itu, kegagalan Jawatankuasa Pemantauan dan Penilaian Projek (JPPP) mentadbir kontrak itu menyebabkan pembayaran lebih sebanyak RM13.54 juta.

“Namun, sistem itu didapati tidak berfungsi dengan baik, apabila 7.65 juta panggilan (32.4 peratus daripada jumlah panggilan) yang dibuat tidak dijawab. Maka, keberkesanannya sangat dipertikai,” katanya lagi.

Permasalahan serupa turut dibangkitkan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin pada satu sidang media semalam.

“Respon orang awam terhadap aplikasi ini sangat positif, malah ramai yang memohon supaya ia boleh disediakan untuk seluruh negara.

“Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah juga dilaporkan berkali-kali memetik insiden di mana MyDistress digunakan dengan jayanya untuk membanteras jenayah.

“Namun, tindakan kerajaan yang tidak semena-mena membatalkan penggunaan MyDistress tanpa pengganti adalah tidak baik kerana ia membabitkan keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.

“Ia terbukti lemah dan rendah mutunya kerana tidak memiliki lima ciri iaitu talian terus kepada PDRM, jejak lokasi masa nyata untuk situasi pengguna sedang bergerak, video serta audio, akauntabiliti dan pentauliahan,” ujarnya

Tegasnya, demi keselamatan orang ramai kerajaan harus memberikan respon segera berhubung perkara itu, sebarang kesilapan dan tindakan lambat akan lebih menyulitkan.

“Saya memohon kerajaan menggunakan semula MyDistress sebelum ia diganti dengan aplikasi yang lebih baik.” – Roketkini.com