Berita

Sambut ulang tahun kelahiran ditahan mengikut Akta Hasutan?

IPOH, 20 DISEMBER: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran mengecam tindakan polis menahan seorang lelaki di Kulim, Sabtu lalu hanya kerana berhimpun untuk menyambut ulang tahun kelahiran pemimpin Liberation of Tamil Tigers (LTTE), V Prabhakaran.

Beliau berkata, penahanan lelaki itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan sama sekali tidak adil.

“Saya ingin bertanya, apakah LTTE diharamkan di Malaysia? Jika ya, mengapa polis tidak pernah menyatakannya secara terbuka?

“Perkara ini saya bangkitkan di Parlimen pada 2004 dan kerajaan menegaskan bahawa LTTE tidak tersenarai sebagai organisasi yang diharamkan.

“Kami menyambut ulang tahun Nelson Mandela, Yasser Arafat, Subhas Chandra Bose dan pemimpin dunia lain tapi adakah kini ia menjadi satu kesalahan mengikut Akta Hasutan untuk meraikan hari lahir mereka?,” soalnya dalam kenyataan, semalam.

Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat itu turut menyelar kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa tidak ada gunanya memuliakan ulang tahun seorang pengganas.

Katanya, kenyataan KPN itu amat menghairankan dan menunjukkan betapa beliau sebenarnya tidak memahami makna pejuang kebebasan.

“Dalam kes Prabhakaran, beliau menggerakkan kesedaran masyarakatnya di timur Sri Lanka akibat diskriminasi, dibunuh dan dihilangkan.

“Apakah KPN sedar pada jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan kerajaan Sri Lanka semasa perang saudara?

“80,000 rakyat tidak bersalah dibunuh hanya kerana mereka orang Tamil. Apakah kita hanya membiarkan saja pencabulan hak asasi manusia terus berlaku ketika banyak negara menegur Sri Lanka mengenai isu ini?,” tegasnya. – Roketkini.com