Berita

Sampai bila rakyat perlu menderita pertahan Proton? -Tony Pua

KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER: DAP hari ini membidas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa harga kereta tinggi diperlukan di Malaysia agar dapat menyokong Proton.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana rakyat sudah tidak sanggup menderita untuk membantu Proton.

“Berapa lama lagi rakyat perlu menderita menyuap syarikat Proton? Sudah 27 tahun mereka membayar kos kereta yang jauh lebih tinggi daripada harga antarabangsa, apa telah dicapai?

“Hyundai, kereta Korea Selatan bermula lebih kurang pada masa yang sama, hari ini mereka merupakan pembuat kereta keempat terbesar di dunia. Proton? Kita ciplak kereta orang lain dan letak logo sendiri.

“Cukuplah, tidak perlu dimanjakan lagi. Biarlah Proton berdikari dan berdaya asing tanpa pertolongan kerajaan,” katanya dipetik dari laman sosial Facebook milik beliau.

Portal The Malay Mail semalam melaporkan kenyataan Mahathir yang menyokong harga tinggi kereta dalam negara.

Beliau yang juga Penasihat Proton menyatakan, tarif cukai tinggi perlu dikenakan supaya dapat menampung dana yang dikeluarkan kerajaan terhadap subsidi bahan bakar.

Katanya, cukai tinggi itu nanti akan membantu memastikan Proton tidak kehilangan pasaran dan wang yang diperlukan untuk penelitian dan perkembangan teknologi penjimatan bahan bakar. -Roketkini.com