Berita

The Heat: Najib Razak tak tahan panas

BUKIT MERTAJAM, 20 DISEMBER – Perdana Menteri Najib Tun Razak disifatkan sebagai ‘tidak tahan panas’ susulan tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan akhbar mingguan, The Heat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika bercakap kepada media hari ini memetik pepatah Inggeris, “if you can’t stand the heat, get out of the kitchen” (kalau tidak tahan panas, keluarlah dari dapur); demikian lapor The Malaysian Insider.

the heat

Beliau begitu terkejut dengan langkah yang diambil Kerajaan UMNO-BN tersebut lantaran janji yang dibuat sebelum pilihanraya Mei lalu begitu jauh berbeza, kononnya mahu memperbaiki keadaan kebebasan media.

“Kita dapat lihat bahawa apa yang dilaksanakan sekarang adalah jauh berbeza berbanding apa yang dijanjikan,” ujar beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sambil menambah bahawa keadaan sedia ada mungkin akan bertambah buruk seperti yang boleh disaksikan melalui kenaikan harga barang kini.

Akhbar mingguan tersebut digantung penerbitannya semalam, dipercayai kerana telah menyiarkan tulisan mengenai perbelanjaan boros pasangan Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Penerbitnya, HCK Media dilaporkan mendapat notis tunjuk sebab 14 hari, namun pihak Kementerian nampaknya telah mengambil tindakan sebelum sempat sebarang penjelasan dibuat.

Menurut Guan Eng, majlis pimpinan Pakatan Rakyat bakal membincangkan isu penggantungan The Heat dalam mesyuaratnya esok.

Kata beliau, Pakatan Rakyat pasti menyokong pembatalan penggantungan tersebut. – Roketkini.com