Budaya

Dari Kuala Lumpur ke Liverpool Oleh Aedi Asri

16 Disember, jam 12:18 malam – Penyerang Liverpool, Luis Suarez menjaringkan gol pertama dalam perlawanan menentang kelab nombor tujuh, satu tangga di atas Manchester United, Tottenham Hotspurs.

Bahagian tempat duduk pelawat di stadium White Hart Lane bertukar riuh. Penonton tuan rumah yang sejak awalnya diam, kekal diam. Kaki-kaki bola di restoran mamak bersorak, tepuk meja. Anasir-anasir luar yang, entah kenapa ada di situ, terdiam, mendoakan sebaiknya.

Sudah lebih dua jam aku terlentang di atas katil, sebaik sahaja pulang dari pejabat. Ada sembang-sembang kewartawanan. Rancangan asal ingin menonton di Syed Bistro, Bangsar.

Nak buat macam mana.

Jam 12:40 malam – Bekas kapten skuad bawah 21 England, Jordan Henderson menjaringkan gol kedua Liverpool. Kemenangan dalam tangan.

Penonton di restoran mamak semakin gembira. Para sinis kepada peminat liga Inggeris di Malaysia mula meyoal-nyoal di twitter.

Manusia bukan satu palimpsest. Ia cukup untuk apa-apa sahaja hidup dan bernafas tanpa mengambil tempat yang lain.

Aku masih lagi tidur. Kali ini mengiring ke sebelah kiri, menghadap dinding. Petinggi-petinggi FAM juga masih tidur. Bezanya, aku akan bangun dalam masa beberapa jam lagi. Mereka akan terus begitu, sebelum bangun untuk meeting prosedur, sehari sebelum perlawanan pertama musim hadapan bermula.

Jam 1:30 pagi – John Flanagan sumbat sebiji lagi, jadi 3-0. Di tempat yang sama beberapa minggu lalu, Manchester United seri 2-2 dengan Spurs. Kelab itu kini satu tangga di bawah Spurs, kurang dua mata.

Hooligan kedua-dua belah pihak mula pasang rancangan, Macam dalam Green Street Hooligans.

Nanti bila jumpa, aku tanya kawan ada tak siapa-siapa yang serbu padang, atau paling kurang, angkat jari tengah ke arah kamera.

‘I am forever blowing bubbles,
Pretty bubbles in the air,
They fly so high, nearly reach the sky,
Then like my dreams they fade and die’
– I’m forever blowing bubbles (ost Green Street Hooligans)

Aku masih tidur, entah mimpi entah tidak.

Jam 1:39 pagi – Luis Suarez letakkan Liverpool pada kedudukan 4-0. Nampaknya menang besar. Persaingan sengit sungguh pada musim kali ini, beza jaringan jadi penting. Buat masa ini, beza jaringan Liverpool adalah dua puluh, Manchester United hanya enam.

Jurnalis sukan pasti tengah syok fikir nak pakai headline apa. Tentang jurnalis, Pete Dunham, guru sejarah dan pendidikan jasmani merangkap ketua Green Street Elite berkata; “They’re lying f—–g scum who’ll write anything just to fill papers”.

Menurut Pete, mereka sering jadi mangsa jurnalis. Berita kemenangan West Ham United dipadam oleh pergaduhan kecil mereka dengan penyokong lawan.

Tak jauh beza dengan negara ini juga. Hal-hal tidak penting, namun digemari masyarakat moralis, lebih mendapat tempat – budak-budak Rock Kapak, Black Metal, Punk dan kini, Shiah.

Jam 1:44 pagi – 5-0. Raheem Sterling melengkapkan kemenangan Liverpool. Liverpool makin mendekati Arsenal yang duduk paling atas. Beza mata Liverpool dengan Manchester United kekal lapan.

Dalam masa beberapa jam, ada kawan di group Whatsapp akan printscreen sebuah laman sukan, tunjukkan kemenangan Manchester United yang menjadi headline, bukan Liverpool. Entah kenapa, dia rasa bangga.

Dia tak faham hukum berita. Semakin kecil kebarangkalian sesuatu peristiwa, semakin tinggi nilai berita. Berita penyelewengan jarang dilaporkan di akhbar dan televisyen – sebab itulah… kot.

Aku masih lagi tidur. Baru teringat, aku tak mimpi apa-apa.

Jam 4 pagi – Di luar stadium, mungkin ada pertembungan antara penyokong dua pasukan. Pergaduhan kecil, tak sampai tahap panik di jalan-jalan sekitar London.

Petinggi-petinggi FAM, aku yakin masih asyik berhibernasi. Penonton di restoran mamak sudah lama pulang. Yang tinggal hanya pegawai-pegawai Jakim, sedang lepak selepas habis sesi serbuan malam ini.

Serbuan di tempat murah, tentunya. Pekerja-pekerja yang rata-ratanya pendatang asing di bawa ke depo tahanan, tuan-tuan kedai hilang entah ke mana.

Aku terjaga, terus ke meja tengok laptop, telefon. Dari situlah aku tahu waktu aku bangun daripada tidur. Aku buka livescore, tengok keputusan perlawanan. Buka facebook, ada beberapa mesej masuk – ‘rugi tak tengok, menang besar ni’ dan ‘King Dalglish punya senyum masa flanagan score, priceless’. Dalam mamai, aku menyumpah diri sendiri.

Esok kerja dan mata tak lagi mengantuk. Tak tahu nak buat apa, aku buka Microsoft Word dan taip;

“16 Disember, jam 12:18 malam – Penyerang Liverpool…” – Roketkini.com