Berita

Dasar luar Malaysia sekadar tiru Amerika?

SHAH ALAM, 21 DISEMBER – Malaysia seolah-olah tidak mempunyai sebarang dasar luar dan tidak lagi dipedulikan komuniti antarabangsa pasca pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sehinggakan tidak berani membuat pendirian berkaitan isu-isu global sejagat.

“Sekurang-kurangnya waktu Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, dunia tahu pendirian negara, sekarang dunia tak peduli.”

Demikian ucap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong ketika membicarakan pendirian Pakatan Rakyat dalam soal rampasan kuasa 3 Julai di Mesir. Menurutnya Pakatan Rakyat telah menggesa diadakan usul tergempar mengutuk rampasan kuasa terbabit.

Malangnya kata beliau, pihak kerajaan tidak peduli.

“Adakah kerajaan mempunyai dasar luar; atau sekadar ikut-ikut Amerika?” soalnya dalam wacana eksklusif ‘Ikhwan Muslimin: Musuh atau kawan’ anjuran PTS Media dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di sini.

“Soalan ‘ikhwan muslimin’ kawan atau lawan adalah soalan untuk kerajaan Malaysia” tambahnya lagi sambil berkata bahwa negara turut memerlukan Menteri Luar yang dapat menajalankan tugas dengan lebih baik.

Demokrasi berteraskan keadilan

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP, turut menambah bahawa demokrasi yang sebenar adalah demokrasi yang menitikberatkan soal keadilan kepada rakyat.

Kenyataan beliau disambut baik bekas mufti Perlis Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang turut menjadi ahli panel.

“Rakyat turun ke jalan dan mengadu kepada Tuhan (kerana kerajaan tidak mendengar) tidak bermakna rakyat mahukan sebuah Islamic state. Rakyat mahukan keadilan,” ujar Dr Asri.

Dua lagi ahli panel yang turut serta di dalam wacana tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Khalil Abdul Hadi dan juga mantan Presiden ABIM, Tuan Haji Ahmad Azam.

Rampasan kuasa Mesir pada 3 Julai berjaya menggulingkan Presiden Mesir, Dr Morsi yang memenangi pilihanraya negara itu pasca revolusi Mesir yang menumbangkan Hosni Mubarak yang telah menjadi presiden Mesir selama hampir 30 tahun. – Roketkini.com.