Berita

Syarikat tidak pakar bolot projek insinerator, Menteri digesa beri penjelasan

KUALA LUMPUR, 23 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming menggesa kerajaan menjelaskan mengapa kontrak diberikan kepada XCNT Technology Sdn Bhd walaupun syarikat itu tidak memiliki kepakaran dalam menguruskan pusat pelupusan sampah.

Beliau berkata, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan harus memberi sebab mengapa teknologi autogenus dipilih sedangkan ia adalah teknologi yang tidak terbukti keberkesanannya.

“Abdul Rahman perlu menyakinkan orang ramai bahawa operasi pusat pelupusan sampah itu tidak akan menyebabkan sisa dioksin terlepas ke kawasan sekitar.

“Perkembangan status projek insinerator di Labuan yang dianugerahkan kepada XCNT secara rundingan terus pada 25 Januari lalu dan mengapa ia diberi juga perlu dinyatakan.

“Beliau harus melampirkan anggaran kos operasi empat insinerator di Langkawi, Pangkor, Cameron Highland dan Tioman, rakyat berhak mengetahuinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP.

Tegas Kian Ming, jika Abdul Rahman gagal memberi penjelasan, maka ia agak menghairankan bagaimana kementerian begitu yakin projek insinerator di Taman Beringin, Kepong akan berjaya.

Jelasnya, kontrak keempat-empat projek insinerator dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang dikuasai bekas Panglima Tentera Laut.

Laporan Audit Negara 2012 menyatakan kontrak membina insinerator di Langkawi dan Pangkor diberi secara rundingan terus kepada XCNT pada Jun 2007.

Pada masa sama, kontrak secara rundingan terus juga diberi untuk pembinaan insinerator di Tioman dan Cameron Highlands kepada Sumur Mutiara Sdn Bhd, namun kemudian projek itu dipindahkan kepada XCNT.

Laporan itu juga menekankan bahawa semua projek terbabit mengalami kelewatan ketara dalam pembinaan dan tarikh akhir operasi. Contohnya, projek insinerator Pulau Tioman tidak dapat disiapkan mengikut jadual sepatutnya pada 6 Mei 2013, ia lewat hampir 1,000 hari.

“Semua projek ini mengalami kelewatan, Langkawi selepas 797 hari, Pangkor (286) hari, Tioman (996 hari), Cameron Highlands (533 hari) dan mencecah belanja sebanyak RM153.74 bilion,” ujarnya.

Katanya, walaupun Laporan terbabit mendedahkan butiran pengendalian dan pembinaan insinerator itu, namun masih wujud perkara tersembunyi tidak dinyatakan secara terperinci.

“Apa yang tidak didedahkan dalam Laporan Audit adalah XCNT dikawal oleh 51 peratus sahamnya Dawn Holdings Sdn Bhd diketuai Tan Sri Abdul Wahab Nawi, seorang bekas Panglima Tentera Laut pada 1986 hinga 1990.

“Manakala baki 49 peratus oleh Bersih Earth Technology Sdn Bhd, yang dikuasai tiga Khoos iaitu Gideon, Caleb dan Priscilla. Ketiga-tiga mereka juga adalah Pengarah XCNT,” tegasnya. -Roketkini.com