Berita

DAP kecam tuduhan Maximus Ongkili, terus usaha bantu warga miskin Sabah

SANDAKAN, 26 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong mengecam kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mendakwa DAP sengaja mengelirukan masyarakat melalui projek Impian Sabah.

Beliau berkata, tuduhan Maximus itu sama sekali tidak benar dan membuktikan betapa beliau takut kegagalannya membantu penduduk terutamanya warga miskin Sabah terbongkar.

“DAP hadir ke Kampung Samparita Laut bukan dengan niat menghasut tapi kami ingin membantu seikhlas mungkin kepayahan yang dihadapi penduduk.

“Kami juga berusaha menyediakan air bersih kerana setelah lebih 50 tahun, penduduk kampung tidak pernah mempunyai akses kepada bekalan air bersih.

“Amat memalukan apabila seorang Menteri Air dan Ahli Parlimen BN Kota Marudu gagal menjaga kawasan sendiri,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Menurut Stephen, usaha murni DAP itu adalah bertujuan membantu masyarakat luar bandar dan ia dimulakan di Kampung Samparita Laut minggu lalu.

Beliau yang juga Penyelaras Impian Sabah turut menyelar kegagalan Maximus membekalkan air bersih kepada penduduk Sabah walaupun sudah bergelar menteri lebih 10 tahun.

“Beliau langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada DAP atau mengaku bersalah terhadap kecuaiannya tapi memilih untuk membuat tuduhan kepada kami.

“Saya ingin bertanya kepada Maximus, pernahkah beliau masuk menjenguk kampung ini selama sedekad ini? Adakah dia memahami penderitaan penduduk? Apakah beliau tahu kampung ini tidak ada bekalan elektrik dan air? Jambatan lengkap juga tidak disediakan untuk menyeberangi sungai,” tegasnya.

Katanya, bantuan yang dibekalkan kepada penduduk Kampung Samparita Laut hanya permulaan dan DAP akan bergerak ke seluruh pelusuk Sabah untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat merealisasikan impian mereka.

“Kami bukan BN, kami tidak mempunyai wang dan tidak mempunyai akses kepada wang cukai. Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh orang ramai yang berhasrat melihat perubahan.

“Maximus harus meminta maaf kepada penduduk dan sukarelawan Impian Sabah yang bekerja dengan ikhlas untuk membantu penduduk.

“Beliau bukan saja gagal melaksanakan tugas tapi tidak pernah mengakui kegagalan BN sejak 50 tahun lalu,” ujarnya.

Beliau menambah, Impian Sabah tetap akan diteruskan dan DAP konsisten bekerja demi kebaikan rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya. -Roketkini.com