Berita

Gantung The Heat untuk tutup kebenaran

KUALA LUMPUR, 29 DISEMBER: Keputusan kerajaan menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Heat adalah jelas kerana ingin menutup kebenaran daripada sampai ke pengetahuan rakyat.

Penulis dan kartunis politik terkenal, Mohd Affandi Ramli berkata, pelbagai sebab teknikal yang diberi Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah alasan semata-mata.

“Ramai orang kata The Heat digantung kerana itu dan ini (sebab teknikal). Isu ini jelas, ia digantung kerana kandungannya bongkar tembelang Perdana Menteri.

“Tujuannya, halang rakyat untuk tahu dan meneruskan proses pembodohan rakyat,” katanya pada forum Kebebasan Media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, kelmarin.

Beliau mengambil contoh majalah Wasilah yang diharamkan ketika era Reformasi dahulu.

“KDN haram majalah itu dengan alasan suku kata ‘al’ pada nama ‘al-Wasilah itu,” katanya yang juga dikenali dengan Ronasina.

Akhbar mingguan The Heat digantung pada 19 Disember lalu, dipercayai kerana artikel muka depannya bertajuk ‘All eyes on big spending Najib’.

Forum anjuran Gerakan Media Marah (Geramm) dan dibarisi ahli panel seperti wakil Reporters Without Borders (RSF), Hata Wahari; Masjaliza Hamzah (Ketua CIJ), G Vinod (Ketua Wartawan Free Malaysia Today), V Anbalagan (Penolong Editor The Malaysian Insider) dan Steven Gan (Pengasas Malaysiakini).

Steven Gan juga meminta semua wartawan agar bersatu mempertahankan hak mereka, kerana ia penting untuk perubahan negara.

“Saya faham jika wartawan tidak ingin mencetuskan masalah (rock the boat), terutama daripada media arus perdana. Namun jika kita bersatu, ia boleh dilakukan,” katanya.

Selain pembangkang dan masyarakat sivil yang kuat, katanya lagi, media yang bebas juga adalah unsur penting untuk membawa perubahan kepada negara.

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar mengumumkan, satu demonstrasi akan diadakan di Dataran Merdeka pada petang 4 Januari ini bagi menyuarakan bantahan ke atas sekatan kerajaan kepada media di negara ini.

“Jika The Heat masih belum kembali ke pasaran, kita turun ke jalan. Jika The Heat sudah kembali, kita tetap turun ke jalan,” katanya dalam ucapan ringkas pada akhir forum itu.-Roketkini.com