Berita

Isu The Heat: UMNO/BN cabuli kebebasan media

KUALA LUMPUR, 29 DISEMBER: Tindakan kerajaan menggantung akhbar The Heat baru-baru ini adalah perilaku kejam terhadap media sekaligus mempertontonkan watak sebenar rejim UMNO/BN yang akan menggunakan apa saja cara demi menutup mulut pengkritik.

Bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Hata Wahari menyatakan, tindakan itu juga menggambarkan kepada dunia bahawa negara yang kononnya maju dan mengecapi kemerdekaan selama 56 tahun ini, masih mengamalkan penindasan terhadap media.

Beliau berkata, tekanan kerajaan itu turut menyebabkan wartawan arus perdana memilih untuk membelakangi etika demi untuk memenuhi kemahuan pemerintah.

“Apabila bercakap mengenai etika kewartawanan, adakah kerajaan menghormatinya? Adakah media perdana mengikut etika kewartawanan?

“Jika mereka tidak mahu mengikut etika, mengapa tidak kita? Berapa lama media arus perdana telah ‘memandulkan’ etika kewartawanan? Adakah mereka memberi hak kepada pihak yang dituduh mempertahankan diri?” katanya pada forum Kebebasan Media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), kelmarin.

Mantan Wartawan Utusan Malaysia itu juga menegaskan, kuasa besar kini terserah kepada portal berita atas talian untuk melapor dan mendedahkan kemungkaran penguasa kerana ruang maklumat daripada portal kini lebih mudah diperoleh.

“Portal media kini mempunyai kuasa menyampaikan maklumat. Mengapa tidak gunakan kuasa yang kita ada untuk menghentam dan mendedahkan secara berterusan penyelewengan kerajaan?

“Kita tidak perlu lagi memberi peluang kerana mereka sendiri tidak pernah memberi peluang kepada kita,” ujarnya yang juga ahli DAP.

Pegawai Eksekutif di Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah pula berpendapat pengamal media seharusnya perlu sentiasa mengamalkan etika kewartawanan biarpun berdepan tekanan kuat kerajaan.

Menurutnya, pindaan terhadap Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) adalah sekadar ‘kosmetik’ kerajaan bagi membuktikan pembaharuan terhadap media dilakukan.

Jelas beliau, penggantungan The Heat membuktikan PPPA tidak membawa sebarang erti tetapi makin jauh tersasar daripada apa yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jika kerajaan tidak menghormati media, media yang bertanggungjawab mesti mengamalkan etika kerana asas moral dan profesional akan hilang jika gagal mengamalkan etika.

“Kita tahu pindaan PPPA pada 2012 adalah ‘kosmetik’. Najib berjanji akan ada pembaharuan besar-besaran, transformasi politik dan sosial serta menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia tetapi setahun kemudian akta yang dipinda itu tidak menjadi lebih baik malah digunakan terhadap The Heat.

“Penggantungan lesen penerbitan masih berada di tangan KDN dan kami menggesa agar ia dipinda. Buku kartunis Zunar juga diharamkan sebelum ini dan ia tertakluk di bawah PPPA. Akta itu tidak hanya tertakluk kepada media tetapi buku, data, poster dan kartun,” katanya.-Roketkini.com