Rencana

Telegram untuk Andre Villa Boas – Aliff Fikri

PADA 15 Disember lalu, 10 hari menjelang Krismas pastinya akan dikenang zaman berzaman bagi peminat bola sepak Liga Inggeris (EPL) kerana pada tarikh inilah sebuah kelab yang berbangga dengan sorakan ‘We are Tottenham, Super Tottenham, We are Tottenham, from the Lane’ dirobek di laman sendiri dengan 5 gol tanpa balas oleh Liverpool.

Pada tarikh ini juga menyaksikan kali terakhir seorang pengurus muda, Andre Villa Boas (AVB) yang pernah merangkul kejuaraan UEFA Europa League 2010 bersama Porto mengemudi Spurs buat kali terakhir sebelum dipecat keesokkannya. Pemecatan ini juga amat bersejarah kerana buat julung kalinya sebuah pasukan yang masih berada di landasan persaingan ‘top 4’ memecat pengurusnya.

Namun apakah sebenarnya punca pemecatan beliau? apakah hanya kerana dibelasah dengan 5 gol? atau kerana kedegilannya mengubah struktur pasukan mengikut kemahuannya atau agenda pengkhianatan dalaman yang sememangnya menunggu ‘bola tanggung’ untuk memungkinkan beliau dipecat.

Peminat EPL tentunya sedia maklum, Spurs adalah kelab yang berbelanja besar mempersiapkan diri musim ini, perbelanjaan mereka lebih daripada 100 juta Euro. Namun di sebalik perbelanjaan itu, ada beberapa masalah yang masih tidak terjawab iaitu mengenai manipulasi pembelian pemain.

Berdasarkan apa yang dinyatakan Matt Barlow dari the Daily Mail, Villa Boas tidak pernah menyetujui pembelian pemain berstandard ‘average’ iaitu Erik Lamela, Nacer Chadli, Christian Eriksen dan Vlad Chiriches yang mencecah harga 56 juta Euro. Sasaran utamanya bukanlah mereka ini tapi bintang berkelas dunia iaitu David Villa, Hulk dan Joao Moutinho.

Tapi oleh kerana desakan kuasa yang kuat daripada Pengerusi Spurs, Daniel Levy dan Pengarah Teknikal, Franco Baldini semua senarai yang diberi Villa Boas ditolak mentah-mentah walaupun Hulk dan Moutinho sudah bersedia ke Spurs.

Barlow juga menyatakan selepas kekalahan kepada Liverpool, Villa Boas diminta menyatakan apakah pembelian semua pemain musim ini adalah melalui keinginannya? Villa Boas terdiam, agak terkebil-kebil dan tiba-tiba dengan lantang menegaskan bahawa masalah utama Spurs adalah ‘communication breakdown‘. Beberapa jam kemudian beliau terus mengemas mejanya, seolah-olah sudah tahu nasib yang bakal menimpa.

Di sini jelas, Villa Boas tidak diberikan peranan sepatutnya sebagai seorang pengurus, malah lebih buruk segala keputusan ditentukan pemegang kuasa di atas iaitu Levy dan Baldini. Kuku besi.

Saya tidak tahu bagaimana untuk memulakan pengkhianatan dan kerakusan kuasa yang menyebabkan Villa Boas kehilangan kerja ini. Jadi atas sedikit rasa simpati, marilah kita mulakan saja tulisan ini dengan Revolusi Cuba. Keadaan sesudah berjayanya Revolusi, ketika itu di sebuah sudut ruangan di pinggir Havana, seorang pemuda bernama Ernesto Guevara (Che Guevara) sedang berdebat dengan Fidel Castro mengenai apakah tindakan yang patut dilakukan sekarang (ketika itu pada 1959). Diktator Cuba, Fulgencio Batista telah melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Guevara bertanya kepada Castro “Apa yang hendak kau lakukan terhadap penyokong dan orang Batista?”. Tanpa berfikir panjang Castro menjawab “Paredon!”.

Wajah Guevara terus bertukar rupa sebaik mendengar jawapan itu. Suasana di Havana masih meriah, penyokong masih bersorak meraikan kejayaan menjatuhkan pemerintahan Batista. Paredon atau El Paredon bermaksud ‘ke dinding’ atau dalam bahasa mudahnya ‘to the wall’.

Paredon tidak bermula selepas Revolusi, tapi sudah dimulakan ketika sedang mencari jalan menjatuhkan Batista, Castro melakukan hukuman diskriminasi ini terhadap individu atau sesiapa saja yang tidak setuju dan berbeza dengan garis perjuangan beliau. Paredon adalah hukuman tembak sampai mati tanpa sebarang bicara.

Tahukah kamu Villa Boas? Semua mereka ini dibunuh dengan tragik dan dituduh sebagai pengkhianat, walaupun tidak ada bukti secukupnya.

Guevara menolak ini, kerana padanya sebuah rejim autotarian tidak harus dihukum dengan kekerasan. Jika cinta mampu memperbaiki keadaan, maka kekerasan tidak perlu wujud. Tapi Guevara bukan Castro, Castro yang mendapat mandat sebagai pemimpin besar Cuba. Guevara tidak mempunyai kuasa untuk mempersoal arahan dan tindakannya walaupun beliau adalah orang kanan Castro. Perdebatan berakhir begitu saja. Castro tetap Castro.

Kau perlu tahu Villa Boas, apa yang aku ceritakan ini adalah perasaan sakit akibat dendam dan pengkhianatan. Rasa sakit yang kemudian tertanam dan membelenggu hidupmu kini.

Berbalik pada Guevara, beliau kemudian menyesali ketidakmampuannya membiarkan kebencian mengambil alih Cuba. Kebencian tidak pernah menyelesaikan apa-apa, ia hanya akan melumat perasaan manusia dan menjadikan mereka patung hingga akhirnya tidak ada yang tersisa kecuali penyesalan.

Sebagai contoh, kerajaan BN baru-baru ini melakukan ‘transformasi’ paling ‘significant’ apabila bertindak menggantung serta merta akhbar mingguan bahasa Inggeris ‘The Heat’ hanya kerana melaporkan berita jujur mengenai pemborosan perbelanjaan isteri Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansur.

Tindakan menggunakan demokrasi untuk membunuh demokrasi ini ternyata amat bertentangan dengan garis transformasi yang diperjuangkan, malah kembali ke belakang iaitu ke era ‘mahazalim’ Mahathir. Oh sungguh tak disangka, kerajaan di bawah pentadbiran Najib tersangat moderat dan wasatiyyah sekali. 1Malaysia, opss, 1Melayu.

Oh ya Villa Boas, kau dan Che Guevara tidak bersendiran dalam hal yang aku ceritakan tadi. Tokoh pendiri Pakistan, Muhammad Ali Jinnah juga adalah contoh yang berakhir dengan penyesalan. Beliau menyerah kepada kebencian dan obsesi hingga akhirnya mengorbankan persahabatannya. Kau tahu kisah ini bukan?.

Bersama Mohandas Karamchand Gandhi (Mahatma Gandhi), Ali Jinnah memimpikan negara India yang berdaulat. Negara yang bebas daripada penindasan Inggeris. Mereka berdua kemudian menjadi sahabat dalam perjuangan, melawan tirani Inggeris. Ghandi dengan Satyagraha dan Ali Jinnah dengan perjuangan undang-undang dan politik.

Namun pada 1947, Ghandi dan Jinnah akhirnya berpisah. Jinnah mendirikan Pakistan dan meninggalkan Ghandi bersama India. Sebelum berdirinya Pakistan, kedua sahabat ini bertemu untuk kali terakhir. Ketika itu Ghandi dalam keadaan sakit, sambil menangis beliau berkata “Tolong jangan tinggalkan India sahabatku, ambillah kedudukan aku dan jangan pergi.”

Permintaan itu ditolak. Jinnah kemudian menyesali keputusan itu. Di ambang nafas menuju kematiannya, Jinnah berkata “Oh yang Maha agung, kenapa aku tidak mendengar permintaan sahabatku,” katanya.

Semua yang berlaku ini diawali dengan satu alasan bahawa sejak awal lagi Guevara dan Castro tidak pernah jujur tentang ‘ending’ daripada perjuangan mereka yang membawa kepada Paredon. Ghandi dan Jinnah juga sama-sama tidak ada kata putus dalam soal perbezaan keyakinan konsep negara ideal.

Villa Boas, kau lelaki yang punya visi dan misi, kau dan aku mungkin sama. Orang yang terselubung dengan kenangan dan berulang kali menyerah pada keadaan daripada melawan. Kita sama-sama terlalu takut untuk berdiri dan berhenti mengharap. Mungkin kerana terlalu selesa.

Villa Boas sahabatku, masih ada kesempatan untuk kau berdiri dan berkuasa atas keinginanmu sendiri. Usahlah kau hanya berdiam meratapi nasib.

Berhentilah menangis sahabatku. Bukankah WS Rendra pernah menulis (walaupun kau tidak mengenalinya):

“Sesalkan mana yang mesti kau sesalkan, tapi jangan kau rela dibikin korban.”

Sesalkanlah apa yang kau mesti sesali Villa Boas. Lalu bangunlah, berhentilah menangis kerana tangisan tidak menyelesaikan masalah.

Yang benar,
Penyokong tegar Liverpool dan bekas peminat penyerang lagenda Spurs, Gary Lineker.-Roketkini.com