Berita

BN terus ‘curi’ duit rakyat ketika kenaikan harga barang, hutang – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 30 DISEMBER: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana tidak memerangi rasuah sebaliknya membiarkan kroni dan keluarga BN terus ‘mencuri’ duit rakyat ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan harga dan hutang sebanyak 83.5 % daripada hasil Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) merupakan yang kedua tertinggi di Asia.

Beliau berkata, apa etika kuasa dan justifikasi kerajaan Persekutuan apabila bertindak menaikkan kos sara hidup sedangkan mereka enggan melaksanakan pembidaan tender secara terbuka dan kompetitif serta enggan mendedahkan aset yang dimiliki.

Katanya, tindakan kerajaan menaikkan kos sara hidup dan membiarkan korupsi boleh menyebabkan negara berdepan inflasi dan menjejaskan peluang kenaikan gaji dan bonus 14.4 juta pekerja pada 2014.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kenaikan kadar tol, tarif elektrik dan sebagainya memberi kesan negatif dan boleh mengakibatkan inflasi.

Menurutnya, biarpun berlaku kenaikan gaji dan bonus namun ia tidak seiring dengan peningkatan kos yang akhirnya menyebabkan kehidupan rakyat Malaysia semakin sukar.

“Berdasarkan kajian Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), ia mendedahkan daripada 257 syarikat yang mempunyai lebih daripada 13,000 majikan, pekerja berjawatan eksekutif dijangka kenaikan purata 5.63% dan 5.65% bagi pekerja bukan eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, memburukkan lagi keadaan, korupsi yang semakin kronik di negara ini juga menyumbang kepada kesengsaraan rakyat apabila ia merencatkan penjanaan ekonomi negara.

Beliau berkata, penyelewengan itu menyebabkan negara kehilangan wang berjumlah RM1.2 trilion pada 2012 seperti yang dinyatakan dalam laporan Kewangan Global Intergriti (GFI).

“Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menafikan hakikat aliran keluar wang haram sebagai hanya RM1 bilion daripada rasuah dan RM34 bilion daripada jenayah membuktikan beliau hilang kredibiliti setelah menjadi menteri,” katanya.

Guan Eng turut mengecam pelaksanaan polisi gaji minimum pada 2014 yang meletakkan kadar RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, polisi itu akhirnya menyamakan gaji yang diterima pekerja asing dan pekerja tempatan.

Tambahan pula, Guan Eng berkata, Malaysia kerugian kerana pekerja asing yang bekerja di negara ini menghantar wang pulang ke negara asal mereka.

“Jumlah yang dinyatakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan bahawa kiriman wang ke luar negara meningkat sekali ganda iaitu daripada RM10 bilion pada 2009 kepada RM20 bilion.

“Dan jumlah itu dijangka meningkat apabila gaji minimun dilaksanakan dan pertambahan itu amat membimbangkan,” katanya.

Menurut Guan Eng, rakyat Malaysia membuat keputusan betul menolak kepimpinan kerajaan BN dengan memberi peluang Pakatan Rakyat (PR) meraih undi popular sebanyak 51% berbanding BN yang hanya memperoleh 47%.

Beliau berkata, tindakan kerajaan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sekaligus meningkatkan kos sara hidup dan menghancurkan kepercayaan yang diberi 47% pengundi BN.-Roketkini.com