Berita

Isu pekerja asing: Aliran keluar tunai tidak masuk akal, sistem penjagaan kesihatan terjejas

KUALA LUMPUR, 30 DISEMBER: Kiriman wang pekerja asing ke negara asal (remittance) mereka yang berjumlah hampir RM20 bilion tahun lalu akan meningkatkan pendapatan per kapita Malaysia bertambah sebanyak RM714 kepada RM33,916 jika rakyat memperoleh upah yang sebetulnya.

Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, ia agak ragu dan menghairankan apabila Bangladesh menerima kiriman wang sebanyak RM3.032 bilion tahun lalu, sedangan pekerja asing negara itu yang sah di Malaysia hanya 132,350 orang seperti direkodkan pada 31 Disember 2012.

“Jumlah itu ini terlalu tinggi, ini bermakna pekerja asing tanpa izin Bangladesh di negara ini mungkin lebih dua hingga tiga kali ganda daripada pekerja sah.

“Selain menyebabkan aliran keluar tunai, pekerja asing juga menjadi beban kepada sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Penolong Setiausha Publisiti DAP Kebangsaan menyatakan, sebagai contoh di Sabah, bil perubatan yang tidak dibayar pekerja asing meningkat daripada RM21.54 juta pada 2011 kepada RM40.9 juta, pada 30 April tahun ini.

Menurutnya, walaupun Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Skim Hospital dan Pembedahan Pekerja Asing bermula 1 Januari 2011, iaitu perlindungan perubatan wajib bagi semua pekerja asing dengan premium RM120 dan jumlah perlindungan sebanyak RM10,000, namun penguatkuasaan yang lemah menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Bagi pekerja asing yang gagal membayar yuran perubatan, mereka dilarang daripada memperbaharui permit kerja dan majikan akan disenaraihitam untuk mengambil pekerja asing baru.

“Namun amat menyedihkan, pada April 2013, masih terdapat sebilangan besar perbelanjaan perubatan pekerja asing tidak dijelaskan berpunca daripada penguatkuasaan lemah hospital kerajaan,” tegasnya.

Tegas Nie Ching yang juga Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan turut menggesa kerajaan segera mencari jalan penyelesaian terhadap masalah tanggungan kepada pekerja asing daripada kian meruncing.

“Kerajaan perlu mengambil inisiatif dan pelan menyeluruh bagi menangani masalah daripada tanggungan terhadap pekerja asing ini.

“Pekerja asing selain daripada memenuhi permintaan negara bagi sumber manusia dalam bidang perindustrian, perdagangan, pertanian dan perikanan, mereka juga meningkatkan kos sosial tersembunyi.

“Kebergantungan kepada pekerja asing turut akan membawa sistem ekonomi negara kekal sebagai industri faundri,” ujarnya. -Roketkini.com