Berita

Pemuda DAP pelawa Pemuda BN sertai perhimpunan bantah kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR, 30 DISEMBER: Pemuda DAP Kebangsaan mempelawa Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama anak muda ke perhimpunan aman membantah kenaikan harga barang di Dataran Merdeka, malam 31 Disember ini.

Ketua Pemuda Kebangsaan DAP, Teo Kok Seong berkata, ia selaras dengan prinsip demokrasi yang dipegang serta laungan transformasi Pemuda BN.

“Pemuda DAP bersama-sama Pemuda PAS dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) sokong langkah (perhimpunan) yang selari dengan semangat perlembagaan, undang-undang dan demokrasi matang.

“Malah, ia juga harus diikuti Pemuda BN, khususnya Pemuda MCA dengan kepimpinan baru yang mendakwa ingin melaksanakan perubahan, namun diam dalam membela hak demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kegagalan berbuat demikian menunjukkan laungan transformasi Pemuda BN retorik semata-mata.

Perhimpunan anjuran Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) itu bertujuan menyuarakan bantahan berhubung pelbagai kenaikan harga oleh kerajaan.

Selain TURUN, ia juga digerakkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM); Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Jingga 13.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rasah itu turut mengecam segelintir pihak yang menuduh perhimpunan ambang tahun baru itu bertujuan menggulingkan kerajaan.

“Mereka bukan penjenayah yang berniat menggulingkan kerajaan, tetapi kumpulan pro-demokrasi berjuang memastikan rakyat tertindas terus dibela,” katanya.

Justeru, katanya lagi, beliau menyeru pihak berkuasa agar melaksanakan tanggungjawab dengan profesional dan berkerjasama memastikan perhimpunan itu nanti berjalan dengan aman.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh sebelum ini menuduh perhimpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan.

Malah, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli turut disoal siasat ekoran penyebaran emel palsu berhubung bahan letupan semasa sambutan malam tahun baru.-Roketkini.com