Rencana

Pesta demokrasi dan polis moral – Mahdzir Ibrahim

DALAM konteks duniawi, sambutan pesta tahun baru, sambutan hari merdeka dan yang seumpama dengannya adalah manifestasi daripada sebuah pesta yang lebih besar iaitu pesta meraikan demokrasi.

Tanpa demokrasi, pesta ini tidak akan menjadi ‘pesta’ sebaliknya menjadi aktiviti ritual yang dilakukan secara sembunyi, terpisah dan rahsia. Tidak ada liputan, tidak ada jemputan keramaian dan tidak ada ‘politik’ bermasyarakat. Jika demikian rupanya, seakan kita tidak bernegara, tidak berkomuniti dan tidak bersolidariti.

Tidak ada manusia yang tidak suka berpesta, yang bersukan pestanya ditemasya sukan, yang suka membaca pestanya di pesta jualan buku begitu juga dengan yang lain-lain. Semua pesta ini disambut dengan ‘bahasa’ dan ‘gaya’ masing-masing, hakikatnya itulah pesta untuk meraikan diri, kelompok, budaya dan kepercayaan masing-masing.

Pesta demokrasi dibajak  

Namun, pesta rakyat yang muncul dalam ruang demokrasi itu, pada hari ini bukan lagi pesta yang dirai sepertimana sebelumnya, kini ia dibajak oleh mereka yang anti demokrasi.

Mereka yang anti demokrasi ini datang daripada dua golongan, iaitu golongan mereka yang berada dalam politik kuasa iaitu pemimpin elit UMNO/BN dan golongan kedua adalah mereka yang mahu menjadi polis moral yang terdiri di kalangan tokoh masyarakat, NGO seperti Perkasa, Jati dan segala suku-sakat UMNO.

Hasil bajakan dua golongan itu, pesta ini menjadi plastik, kaku, kering dan ‘poyo’, ia bertukar menjadi pesta merai pemimpin politik yang memusuhi demokrasi terbuka dan juga mereka yang memusuhi semangat kepelbagaian kaum dan budaya.

Pada awalnya, golongan ‘politik kuasa’ UMNO/BN ini melihat pesta rakyat sebagai tempat untuk mereka menyelit dan mencelah didalam himpunan rakyat.

Bagi mereka, peluang ini bukan mudah untuk diperoleh. Maka berduyunlah ahli politik UMNO/BN turun menebeng tunjuk muka dengan ucapan dan slogan jeritan yang membodohkan rakyat.

Tidak cukup dengan itu, pesta plastik dibuat sebanyak-banyaknya agar golongan ini akan dapat lebih kerap muncul di pentas pesta rakyat. Pesta bangang mula muncul sebagaimana munculnya Tan Sri Isa Samad daripada keranda politiknya.

Tak cukup lagi, mereka ‘paksa’ rakyat untuk datang meramaikan pesta plastik mereka dengan pelbagai helah, tarikan dan imbuhan yang bukan-bukan.

Tak cukup lagi, sebarang pesta lain yang tidak mengiktiraf kuasa politik mereka, pesta itu akan diharamkan. Tak cukup diharamkan, pesta itu dikaitkan pula dengan aktiviti keganasan dan jenayah. Malah contoh terbaru, apabila anak muda mahu sambut tahun baru dengan pesta demokrasi TURUN, pesta ini dilabel menjadi ancaman untuk menggulingkan kerajaan, ugutan bom dan sebagainya yang akhirnya bertujuan agar rakyat menjauhi dan membencinya.

Tak cukup dengan menghentam pesta demokrasi oleh kumpulan anak muda yang pro-demokrasi, pesta anjuran di sebelah UMNO/BN sendiri pun turut dihentam oleh golongan ‘polis moral’ sebagai pesta maksiat.

Inilah lawak politik kumpulan yang anti demokrasi ini. Dia sama dia kini sedang bercelaru atas faham dan amalan demokrasi.

Yang berkuasa (UMNO BN), tak peduli pesta apa, janji pesta yang boleh umpan orang ramai datang, dengan niat mahu tunjuk mereka mendapat sokongan rakyat. Yang polis moralnya pula, mereka jadi tak keruan apabila melihat pesta atas restu UMNO/BN ini akan jadi pesta maksiat.

Etnosentrisme

Mentaliti kedua-dua golongan ini jelas menunjukkan bahawa mereka adalah golongan etnosentrisme (ethnocentrism) yang mengukur dan menilai karekter dan budaya pihak lain daripada ukuran nilai budaya mereka sendiri. Inilah yang dikatakan sebagai hagemoni kuasa dan budaya UMNO/BN.

Maksudnya, bagi golongan elit politik UMNO/BN, mereka menilai pesta demokrasi TURUN anak-anak muda ini bertentangan dengan nilai politik mereka iaitu ‘menyokong’ nilai kerajaan UMNO/BN. Inilah kiblat dan iman kumpulan elit politik terbabit.

Bagi polis moral UMNO/BN, mereka ini pula menilai hukum moral rakyat yang berpesta sambutan tahun baru ini berdasarkan faham dan kepercayaan golongan mereka sahaja.

Sedangkan pesta yang dinilai mengikut selera mereka itu hakikatnya adalah pesta berbilang kaum, pelbagai budaya dan agama. Jadi bagaimana mungkin nilai moral itu, hanya cocok dengan hukum moral golongan polis moral ini sahaja.

Mentaliti etnosentralisme ini mendorong penganutnya untuk bersikap negatif dan pejoratif atau menindas budaya lain. Sebaliknya sikap ini akan mencambah budaya perkauman dan anti kebebasan.

Fahaman sebegini membentuk hagemoni sesuatu kaum dan juga kuasa. Fahaman ini menjadi sempurna apabila semua aktviti pesta demokrasi dihodohkan menjadi pesta maksiat, pesta huru-hara dan sebagainya. Inilah yang dikatakan golongan anti-demokrasi.

Untuk mewujudkan satu ruang budaya dan demokrasi yang adil sebagai sebuah Impian Malaysia, tiada tempat untuk golongan polis moral dan politikus yang anti demokrasi. Itu pra-syaratnya.

Namun, jika sebaliknya berlaku, maka jelaslah bahawa slogan transformasi anjuran parti UMNO/BN, telah bertukar menjadi slogan yang anti demokrasi. Mereka yang anti demokrasi adalah mereka yang fasis dan autokratik, tidak kira anda bergelar haji, pastor, sami, datuk seri, tan sri, doktor atau profesor.

Penulis juga adalah Ahli Jawatankuasa DAPSY Pusat dan peminat seni dan kebudayaan.