Berita

Zaiton Mat simbol rendahnya tahap pemikiran pemimpin UMNO

RAUB, 30 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz menyifatkan kenyataan Ketua Wanita UMNO Kuantan, Datuk Zaiton Mat yang meminta rakyat keluar daripada Malaysia jika tidak bersetuju dengan dasar kerajaan adalah gambaran jelas betapa rendahnya tahap pemikiran pemimpin UMNO.

Katanya, permintaan Zaiton itu juga sangat tidak cerdik dan memalukan partinya sendiri.

“Albert Einstein pernah menyatakan bahawa terdapat dua perkara yang tidak terhingga di dunia ini iaitu alam semesta dan kebodohan.

“Jika Einstein masih hidup sekarang, apa yang perlu beliau lakukan adalah melihat kepada UMNO dan mengesahkan bahawa kebodohan memang tidak mempunyai had.

“Inilah contoh kedunguan yang didedahkan kepada umum, masalahnya dengan UMNO, mereka suka dipimpin orang seperti ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambahnya, ia juga sama taraf dengan ucapan seorang pemimpin UMNO Pulau Pinang yang menyeru parti itu menukar slogan daripada 1Malaysia kepada 1Melayu dan beberapa jawapan tidak masuk akal mengenai isu penting negara.

“Apa yang diucapkan Zaiton itu juga sama bentuknya dengan kenyataan kalau harga gula tinggi, kurangkan makan gula; harga tol naik, guna jalan lain yang tidak bertol.

“Pemikiran seperti ini adalah seperti sesuatu yang terapung dalam longkang yang tidak menyenangkan, ia kemudian datang secara semulajadi daripada bahagian bawah kelas pemikiran,” ujarnya sinis. -Roketkini.com