Berita

Bantah kenaikan kos sara hidup: Himpun salah, tak himpun pun salah

KUALA LUMPUR, 31 DISEMBER: Rakyat Malaysia bukan sahaja terhimpit dengan ekonomi negara yang buruk dan kos sara hidup yang kian melambung, malah turut dihimpit sikap tidak peduli kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kesengsaraan yang bakal ditanggung rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyifatkan perhimpunan rakyat pada malam ambang tahun baru sebagai kerja sia-sia.

“Rakyat tak himpun, Menteri kata tak dengar aduan. Rakyat himpun, Menteri kata buang masa,” kata beliau di laman Facebook rasminya.

“Inilah dia, kerajaan BN yang amat mendahulukan kepentingan rakyat,” ujarnya sinis.

Shabery mendakwa negara mempunyai sistem Parlimen untuk menyatakan ketidakpuasan hati kepada kerajaan.

“Saya rasa yang pergi itu (sertai perhimpunan) akan membuang tenaga…kita ada sistem Parlimen, mereka boleh bersuara dalam Parlimen, dalam media massa dan sebagainya, kerajaan sedia mendengar, kita akan sesuaikan (keperluan orang ramai)…kita jelaskan,” kata beliau, lapor agensi berita nasional, Bernama.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mengingatkan kerajaan BN bahawa suara bantahan rakyat perlu didengar jika ia tidak mahu terus kehilangan sokongan.

“Kerajaan BN mesti diberi pemberitahuan – rakyat tidak akan menyokong kerajaan yang tidak pedulikan penderitaan rakyat, yang tidak menepati janji mereka,” katanya.

Sehubungan itu, badan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) memohon pihak berkuasa agar memudahkan rakyat menggunakan hak berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan dan bukannya menjadi alat politik BN.

Dalam kenyataan media pagi tadi, LFL mengecam tindakan pihak berkuasa bersama-sama pihak polis dan media kawalan kerajaan yang sengaja mewujudkan persepsi negatif terhadap perhimpunan aman terbabit, yang kononnya bertujuan menggulingkan kerajaan.

“Ini adalah taktik yang jahat dan tidak demokratik bertujuan mengubah nilai sebenar protes aman terbabit sehingga menjadi seakan-akan rusuhan, justeru membenarkan pihak polis mengganggu pihak penganjur dan menimbulkan ketakutan di kalangan orang awam,” ujar Eric Paulsen, peguam LFL dalam kenyataan.

LFL menggesa pihak keselamatan bekerjasama dengan pihak penganjur dan tidak bertindak ganas terhadap peserta himpunan seperti yang berlaku sebelum ini.

Himpunan ambang tahun baru di Dataran Merdeka malam ini diadakan bagi membantah kenaikan mendadak harga barang dan kos sara hidup di seluruh negara. – Roketkini.com